Rabu, 12 April 2017 | 6:05am

Aset canggih lindungi perairan negara

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak acap kali menyebut kerajaan sentiasa ambil inisiatif bagi meningkatkan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari segi aset dan pelbagai pengetahuan terbaru dalam industri pertahanan negara.

Bersesuaian dengan perkembangan industri pertahanan yang semakin canggih, Malaysia juga tidak ketinggalan di dalam usaha itu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, pula menegaskan perjuangan kita di Kementerian Pertahanan (MINDEF) bukanlah mudah. Ia adalah platform penting dalam menentukan perjalanan, strategi dan pendekatan kita tahun ini.

Malah, segala perbincangan dan perkembangan sepanjang retreat yang diadakan awal 2017 menjadikan kita lebih bersemangat dan bersatu hati melunaskan amanah dan tanggungjawab. Saya bersyukur dapat hadir pada acara Peletakan Lunas Littoral Combat Ship Kedua (LCS 2) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam suasana perindustrian pembinaan kapal di Boustead Naval Shipyard Sendirian Berhad (BNS), Lumut, Perak, 28 Februari lalu.

LCS adalah satu projek besar negara yang sedang berlangsung, penting dari segi pemodenan sistem pertahanan maritim yang merangsang ekonomi negara. Ia juga adalah projek transformasi nasional yang dapat sokongan dan komitmen sepenuhnya kepemimpinan tertinggi kerajaan.

Acara peletakan lunas berkenaan, memahat satu lagi peristiwa bersejarah bagi TLDM dan BNS yang sekali lagi meneruskan kerjasama dalam industri pertahanan khususnya di dalam industri pembinaan kapal perang.

Secara tradisi, ada lima aktiviti penting pembinaan yang bermula dengan kimpalan pertama, peletakan lunas kapal, pelancaran, pentauliahan dan pelucutan tauliah. Acara berkenaan keel laying secara definisinya adalah aktiviti permulaan penyambungan blok secara modular di atas keel line pembinaan.

Walaupun pembinaan LCS guna konsep modular atau pembinaan secara blok, berbeza daripada cara pembinaan tradisional, tradisi itu masih dikekalkan sebagai simbolik menandakan permulaan pembinaan badan sesebuah kapal, sekali gus memberi gambaran LCS adalah projek nasional berjalan lancar mengikut jadual.

Justeru, pembinaan kapal LCS boleh disimpulkan sebagai tanda aras kemuncak kerjasama yang erat. Kehadiran LCS di dalam inventori TLDM kelak akan beri impak positif kepada operasi TLDM selaras dengan usaha pemodenan TLDM dan menepati konsep 15 to 5 Armada TLDM, iaitu program penyusunan semula aset Armada TLDM daripada 15 kelas kapal kepada hanya lima kelas. Ia bakal jimat kos operasi tinggi, di samping kurangkan kebergantungan TLDM kepada negara luar serta memacu ke arah pengurusan logistik lebih baik dan efisien.

Diyakini LCS bakal jadi kapal tempur terbesar dan tercanggih dalam armada TLDM. Kapal ini dilengkapi keupayaan peperangan empat dimensi, iaitu peperangan antiudara, peperangan antipermukaan, peperangan anti kapal selam dan siber di samping keupayaan untuk membawa helikopter bersaiz sederhana yang mampu bertindak sebagai force multiplier.

Berada di laut 21 hari

Pada masa sama, LCS berkeupayaan berada di perairan pesisir pantai dan laut terbuka untuk tempoh 21 hari tanpa memerlukan ulang bekal, sekali gus meningkatkan keupayaannya melakukan operasi pengawasan dan menjaga keselamatan perairan negara ke tahap maksimum. Bersesuaian dengan spesifikasi, reka bentuk, sistem peperangan dan daya tahan LCS, ia mampu diatur gerak dengan berkesan sama ada ketika waktu aman atau perang.

Sesuai dengan keupayaannya, kapal LCS bakal ditempatkan di sekitar perairan negara dan kawasan berkepentingan khususnya di zon ekonomi eksklusif (EEZ), bermakna kehadiran LCS mampu menggerunkan musuh, sekali gus menyekat kegiatan jenayah di laut melalui operasi pencegahan aktiviti penculikan dan rompakan yang masih berlaku, terutama di sekitar Sabah. Pemodenan dan penambahan aset tentera laut ini mampu membuktikan TLDM setanding dengan tentera laut asing seiring dengan aspirasi ke arah menjadi angkatan tentera laut berkelas dunia.

Pembinaan kapal LCS adalah satu manifestasi kepada usaha kerajaan dan organisasi swasta bekerjasama dalam membangunkan industri pembinaan maritim tempatan. Kejayaan BNS dalam melaksanakan pembinaan ini akan beri persepsi positif kepada masyarakat umum dan komuniti maritim antarabangsa akan kemampuan industri pertahanan tempatan umumnya dan BNS khasnya.

Projek ini juga menjana peluang pekerjaan dalam industri pembinaan kapal dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara. Melihat, kerajaan berkeyakinan kerjasama awam dan swasta di dalam industri pertahanan negara terbukti berjaya. Kita berharap kejayaan TLDM dan Boustead itu akan menjadi kesinambungan kepada kerjasama strategik sedia ada, serta membuka peluang atau ruang kepada kerjasama strategik lain serta membuka idea baharu dari segi pembangunan kepakaran kejuruteraan, teknologi pembinaan dan penawaran peluang pekerjaan.

Dengan kejayaan berkenaan, bermakna BNS berupaya di dalam teknologi pembinaan kapal, iaitu pembinaan Littoral Mission Ship (LMS) yang menggunakan tenaga kerja dan kepakaran tempatan bertaraf antarabangsa.

Selepas menyempurnakan Keel Laying LCS, saya menghadiri Acara Ramah Mesra bersama warga TLDM Lumut serta veteran TLDM di sekitar daerah Manjung. Acara berkenaan bagi mendekatkan kepemimpinan Kementerian Pertahanan dan negara dengan warga TLDM serta veteran yang banyak berbakti kepada negara. Jadi, pihak kementerian ambil peluang beri sumbangan kepada yang terpilih.

Sesungguhnya, pihak kementerian sentiasa menekankan soal kebajikan anggota dan veteran agar khusus dalam aspek kebajikan. Anggota dan veteran tentera adalah satu daripada 5 Teras yang ditekankan kementerian untuk diberi tumpuan.

560 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »