Sabtu, 8 April 2017 | 6:38am

Pertahan hak Islam dijamin Perlembagaan

KEPUTUSAN kerajaan menangguhkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) pada sesi persidangan Parlimen kali ini dilihat suatu keputusan terbaik oleh pihak kerajaan ketika ini.

Tindakan meminda Akta 164 akan menimbulkan lebih banyak pertikaian undang-undang berbanding menyelesaikan masalah dalam isu kepentingan umat Islam.

Persatuan berpandangan RUU 164 bukan sahaja bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, malah dengan hukum syarak serta seolah-olah memperlekeh dan menghina fatwa atau tidak menghormati fatwa yang sudah dibuat.

Pindaan itu bertentangan dengan Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan, berkaitan agama anak mualaf yang dicadangkan kekal pada anutan asalnya atau hanya ditentukan atas persetujuan kedua ibu bapa yang perlu dilihat daripada sudut Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 12(4) menyebut agama bagi seseorang yang berumur kurang daripada 18 tahun ditetapkan oleh ibu bapa atau penjaganya.

Mengambil contoh kes Subahsini lawan Saravanan, Mahkamah Persekutuan, iaitu mahkamah tertinggi dalam negara mentafsirkan bahawa Perkara 12(4) ini bermakna, mana-mana ibu atau bapa atau penjaga boleh menentukan agama seseorang anak di bawah umur 18 tahun.

Oleh itu, sebarang undang-undang yang mengkehendaki ibu bapa bersetuju bagi menentukan agama anak berusia bawah 18 tahun adalah tidak berperlembagaan dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Benarkan ibu atau bapa setuju

Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri juga menetapkan keislaman anak berkenaan perlu didaftarkan dan hendaklah salah seorang ibu atau bapa berkenaan bersetuju atas pemelukan itu, bukan kedua-dua ibu dan bapa.

RUU 164 yang ingin diperkenal memerlukan kedua-dua ibu bapa bersetuju yang akan menyebabkan umat Islam mundur lagi daripada keIslaman yang bersifat automatik dengan pelbagai syarat dikenakan untuk menganut Islam.

Isu agama anak bawah 18 tahun ini perlu dibezakan dengan isu hak jagaan anak kerana hukum syarak boleh membenarkan ibu yang tidak beragama Islam memelihara anak kecilnya.

Agama anak berusia kurang 18 tahun perlu dikekalkan kedudukan sekarang kerana selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pindaan itu juga bertentangan dengan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menjadikan Islam sebagai 'agama bagi Persekutuan' dan undang-undang tubuh semua negeri di Malaysia selain Sarawak juga menjadikan Islam sebagai 'agama bagi negeri'.

Sehubungan itu, peruntukan yang mempunyai kesan perundangan perlu dihormati oleh kerajaan dan semua Ahli Parlimen termasuk bukan Islam.

Saya turut melihat pindaan akta berkenaan seolah-olah memperlekeh titah dan sumpah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada istiadat pembukaan penggal kelima Parlimen ke-13 lalu, untuk terus memastikan kedaulatan negara kekal terpelihara, iaitu memelihara kedaulatan Islam dan kedaulatan Perlembagaan yang menjadi sebahagian daripada kedaulatan negara.

Sumpah Yang di-Pertuan Agong (ketika baginda menaiki takhta) untuk memelihara Islam pada setiap masa seperti termaktub dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan juga mempunyai obligasi berperlembagaan, yang mana juga menjadi tugas Parlimen sebagai badan legislatif negara untuk turut memelihara Islam pada setiap masa.

Pindaan bertentangan

Tindakan meminda juga berlawanan dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Ke-87, 2009 yang secara jelas memutuskan bahawa 'apabila salah seorang pasangan ibu atau bapa memeluk agama Islam, status agama bagi anak bawah umur pasangan itu adalah secara langsung beragama Islam.'

RUU 164 menyebut apabila salah seorang pasangan memeluk Islam dan berlaku perceraian, penukaran status agama anak hanya boleh dilakukan selepas mencapai usia 18 tahun dan mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa adalah jelas berlawanan dengan apa yang diputuskan dalam fatwa serta ditetapkan hukum syarak.

PGSM menyokong tindakan kerajaan menarik balik RUU 164 dan mengekalkan peruntukan sedia ada supaya tidak timbul kekeliruan dan kemarahan umat Islam, malah Majlis Raja-Raja juga perlu dirujuk untuk mendapat perkenan baginda dalam perkara ini. Undang-undang pelbagai negeri juga perlu dipinda bagi menyeragamkannya.

412 dibaca
Berita Harian X