Selasa, 4 April 2017 | 1:54pm

Gelaran Harimau Malaya lebih gah


MOHD Zainy Mohd Zain. - Foto Norizuan Shamsuddin

KOTA BHARU: Bekas pemain Kelantan dan kelab penyokong memberi reaksi berbeza berhubung penukaran nama skuad kebangsaan kepada Harimau Malaya.

Presiden Kelab Penyokong TRWKB, Mohd Zainy Mohd Zain, berkata beliau bersetuju nama Harimau Malaya digunakan bagi mengembalikan semula nostalgia sejarah bola sepak negara.

Katanya, ketika penggunaan nama Harimau Malaya, pelbagai kejayaan dikecapi oleh skuad negara seperti gelaran Sukan SEA dan Piala AFF Suzuki.

"Keputusan ini diharap dapat mengembalikan semula semangat pemain untuk kembali menemui rentak permainan setanding negara lain di rantau Asia," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Skuad kebangsaan kembali menggunakan nama Harimau Malaya selepas Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menitahkan supaya nama Harimau Malaysia itu digantikan.

Sementara itu, bekas pemain Kelantan dan kebangsaan, Yassin Mohd Noor, pula mempunyai pendapat berbeza kerana baginya, nama Harimau Malaysia lebih sinonim kepada peminat berbanding Harimau Malaya.

"Zaman kegemilangan bola sepak pada era 1980-an sememangnya lebih gah dengan gelaran Harimau Malaya lebih-lebih lagi pada masa itu kita lebih dikenali sebagai Malaya.

"Penggunaan nama Malaya kini tidak relevan malah pada peringkat antarabangsa seperti sukan Olimpik dan Komanwel nama Malaysia lebih dikenali berbanding Malaya.

"Nama Harimau Malaya tidak semestinya menggambarkan kekuatan pasukan jika pemain yang sedia ada tidak menunjukkan prestasi dan sumbangan yang konsisten dalam mengembalikan reputasi bola sepak di peringkat antarabangsa," katanya.

42 dibaca
Berita Harian X