Ahad, 26 March 2017 | 10:26pm

Pandikar Amin bangga kejayaan Sirhajwan


PANDIKAR Amin (duduk) bersama Sirhajwan (berdiri kiri), ibu Sirhajwan, Bintek Abdul Rahman (berdiri dua dari kanan) dan Sendera Dewi (kanan) di Kampung Rampayan Laut, Kota Belud. - Foto ihsan keluarga Sirhajwan Idek

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, bangga dengan kejayaan guru dari Sabah, Mohd Sirhajwan Idek, 29, yang berada dalam kelompok 50 guru terbaik disenarai pendek sebagai penerima Hadiah Guru Global 2017 di Dubai, 19 Mac lalu.

Perkara itu disuarakan Pandikar Amin yang juga Pemangku Presiden Pertubuhan Bajau Bersatu Sabah (USBO) dalam pertemuan dengan keluarga Sirhajwan di Kampung Rampayan Laut, Kota Belud, semalam.

Kakak Sirhajwan, Sendera Dewi Idek, 42, berkata mereka sekeluarga dijemput berjumpa dengan Pandikar Amin sebagai penghargaan terhadap kejayaan adiknya mengharumkan nama negara dan daerah kelahirannya, Kota Belud.

"Beliau gembira dan bangga dengan kejayaan Sirhajwan. Ini kerana katanya adik saya bukan saja berjaya mengharumkan nama negara dan negeri kelahirannya, malah mengangkat imej bangsa Bajau di peringkat dunia.

"Tahun lalu, Pandikar Amin turut mengucapkan tahniah selepas adik saya muncul antara lima guru terbaik bahasa Inggeris seluruh dunia dalam kalangan bukan penutur bahasa antarabangsa itu yang dinilai menerusi pembentangan kaedah pengajaran di persidangan antarabangsa. Program bertema `Guru di hati ku' itu anjuran Macmillan Education Teachers berpangkalan di United Kingdom (UK)," katanya kepada BH, hari ini.

Mengikut laman sesawang www.globalteacherprize.org, lebih 20,000 guru dari 179 negara dicalonkan menerima Hadiah Guru Global 2017, sebelum 50 orang disenarai pendek sebagai penerima.

Guru dari Kanada, Maggie MacDonnell dinobatkan sebagai pemenang hadiah berprestij anjuran Yayasan Varkey, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai AS$1 juta (RM4.43 juta).

Hadiah disampaikan Perdana Menteri dan Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum yang juga penaung yayasan berkenaan.

910 dibaca
Berita Harian X