Rabu, 31 Disember 2014 | 6:54pm

QZ8501: KD Pahang temui 3 mayat di Laut Jawa - TLDM

KUALA LUMPUR: Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Pahang, menemui tiga mayat terapung di Laut Jawa ketika menyertai operasi mencari dan menyelamat pesawat AirAsia Indonesia QZ8501, hari ini. Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dalam akaun Twitternya berkata tiga mayat itu ditemui pada 4.30 petang.

"Pada jam 1630, KD Pahang menjumpai tiga mayat terapung di laut di Sektor 1.Kapal sedang menaikkan mayat tersebut," katanya.

Dengan penemuan itu, sudah 10 mayat mangsa pesawat berkenaan ditemui pasukan pencari dan penyelamat yang diketuai Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Republik Indonesia (BASARNAS).

Pesawat Airbus A320-200 bersama 162 penumpang dan anak kapal itu berlepasdari Surabaya pada 5.35 pagi Ahad dan dijadual tiba di Singapura pada 8.20 pagi hari yang sama.

Ia terputus hubungan dengan menara kawalan udara Indonesia pada 7.24 pagi.

Penumpang pesawat itu terdiri daripada warga Indonesia seramai 149 orang, Korea Selatan (3), Singapura, Malaysia dan United Kingdom (masing-masingseorang).

Pesawat dikendalikan dua juruterbang dan lima petugas kabin. Selain tiga kapal TLDM iaitu KD Pahang, KD Lekir dan KD Lekiu yang dilengkapi helikopter jenis Fennec, Malaysia juga menghantar pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) iaitu C-130, CN235 dan Beechcraft, untuk menyertai operasi mencari pesawat malang berkenaan sejak Isnin lalu. -- BERNAMA

27 dibaca
Berita Harian X