Sabtu, 25 March 2017 | 9:37pm

Lelaki keluar kenyataan jelik ditahan

JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai memuat naik kenyataan jelik terhadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan institusi Diraja Johor dalam laman sosial Facebook, hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata suspek berusia 39 tahun itu ditahan polis di kawasan Pasir Gudang dekat sini, pada jam 3.35 petang tadi.

"Suspek ditahan susulan satu laporan diterima polis pada jam 1.19 tengah hari tadi berhubung kenyataan jelik yang dimuat naik dalam Facebook dan satu kertas siasatan dibuka bagi menjalankan siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan sekiranya disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, selain boleh didenda selanjutnya bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Wan Ahmad Najmuddin menegaskan polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan laman sosial dengan mengeluarkan kenyataan palsu, menyakitkan hati, menganiaya, mengugut serta mengganggu orang lain.

27 dibaca
Berita Harian X