Sabtu, 25 March 2017 | 1:25pm

Dua mangsa culik dijangka balik esok


KETUA Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

KUALA LUMPUR: Dua rakyat Malaysia yang diselamatkan pasukan keselamatan Filipina daripada tawanan penculik kelmarin dijangka tiba di Kuala Lumpur, esok.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan berhubung kepulangan dua mangsa culik berkenaan.

"Saya mengesahkan bahawa dua mangsa culik rakyat Malaysia akan sampai di Manila petang ini dan akan tiba di Kuala Lumpur esok," katanya pada sidang media selepas perasmian Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-210 di Pusat Latihan Polis, hari ini.

Khalid berkata, sebaik tiba, kedua-dua mangsa itu akan diambil keterangan untuk siasatan. Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut berhubung insiden berkenaan.

Difahamkan, usaha membawa pulang Abdul Rahim Summas, 62, dan Tayudin Anjut, 45, dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Luar dengan kerjasama pihak keselamatan negara jiran itu.

Awal pagi kelmarin, dua daripada lima kru kapal tunda warga Malaysia yang dilarikan di perairan Lahad Datu pada Julai tahun lalu, diselamatkan pasukan keselamatan Filipina dalam operasi khas di perairan Kalinggalang Caluang berhampiran Pulau Pata di Wilayah Sulu, selatan negara jiran itu.

Bagaimanapun, tiga lagi mangsa culik iaitu Fandy Bakran, 26; Mohd Ridzuan Ismail, 32 dan Mohamad Jumadil Rahim, 23, masih belum diketahui status mereka.

27 dibaca
Berita Harian X