Sabtu, 25 March 2017 | 10:59am

PM sedih pihak burukkan PDRM


DATUK Seri Najib Razak memeriksa kawalan kehormat semasa hadir pada Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-210 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berasa sedih apabila ada sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab memperkecilkan peranan dan sumbangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap negara.

Perdana Menteri berkata, pihak terbabit memburuk-burukkan imej atau nama baik pasukan keselamatan itu dengan pelbagai tohmahan dan cerita palsu yang tidak munasabah sama sekali.

Katanya, perbuatan berkenaan tidak wajar dan kurang bermaruah, apatah lagi jika ia sengaja dilakukan atas tujuan tertentu, termasuk didorong oleh fahaman politik sempit.


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir di Majlis perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-210 di PULAPOL, Kuala Lumpur, Turut kelihatan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. - Foto Syarafiq Abd Samad

"Tiada siapa pun yang dapat menafikan, sejak dulu lagi, sejarah menunjukkan bahawa jasa dan sumbangan PDRM begitu besar sekali terhadap rakyat serta negara.

"Merekalah antara ribuan pegawai dan anggota polis yang selalu berada di barisan hadapan, tidak takut lagi gentar, rela berkorban walaupun nyawa menjadi taruhan, demi menjaga keamanan dan ketenteraman rakyat serta negara.

"Ini sesuai dengan tema Hari Peringatan Polis kali ini iaitu 'Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada'," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-210 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan sumbangan kerajaan sebanyak RM3 juta untuk Tabung Amanah Warisan Polis, yang dilancarkan hari ini.

58 dibaca
Berita Harian X