Jumaat, 24 March 2017 | 10:57pm

Kit Siang letak harapan selepas hina Hadi


KUALA TERENGGANU 27 FEBRUARAY 2014. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar STR/SYAHIRAH ABDULLAH[FOTO SYAHIRAH ABDULLAH /BH]

KUALA LUMPUR: Penasihat DAP, Lim Kit Siang didakwa terdesak apabila kembali meletakkan harapan kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk melihat parti itu bekerjasama dengan gabungan Pakatan Harapan.

Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan tindakan Kit Siang sebagai aneh jika benar laporan media yang menyiarkan kenyataan Ahli Parlimen Gelang Patah itu bahawa wujud harapan untuk menyaksikan perdamaian antara DAP dan PAS tetapi bergantung kepada parti Islam berkenaan.

"Alangkah anehnya supremo Kit Siang, ...siang malam menghina dan mencerca Presiden PAS sehingga mengguris perasaan seluruh ahli dan penyokong PAS.

"Hari ini meletakkan harapan segalanya pada Presiden PAS pula. Agaknya inilah kerja orang yang terdesak," katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan terbaru Kit Siang pada sidang media di Alor Setar, hari ini bahawa wujud harapan untuk menyaksikan perdamaian antara DAP dan PAS, tetapi keputusan itu bergantung kepada parti Islam berkenaan.

Kit Siang dilaporkan berkata, Hadi perlu memutuskan sama ada partinya sedia bekerjasama dengan gabungan Pakatan Harapan.

"Sama ada beliau (Hadi) mahu menyelamatkan Malaysia atau menyelamatkan Najib, biarlah beliau yang putuskan," kata Kit Siang seperti yang dilaporkan.

206 dibaca
Berita Harian X