Khamis, 23 March 2017 | 5:20pm

21 loji digantung tiada dalam senarai lulus JPV


KETUA Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Kamarudin Md Isa. -- Foto Iqmal Haqim Rosman

PUTRAJAYA: Malaysia tidak mengimport daging lembu dan ayam dari 21 loji yang sedang disiasat pihak berkuasa Brazil, berikutan isu integriti dalam kalangan pengeksport daging Brazil ketika ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Kamarudin Md Isa, berkata loji berkenaan yang kini sudah digantung daripada mengeksport daging, tidak termasuk dalam senarai loji yang diluluskan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

"Loji yang diluluskan sudah melalui pemeriksaan audit JPV dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta menepati piawaian dari segi Amalan Perkilangan Baik, Keselamatan Makanan, Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP) dan halal.

"Pemeriksaan sijil kesihatan dan fizikal juga dilakukan oleh Bahagian Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) bagi setiap penghantaran daging lembu dan keratan ayam di pintu masuk yang dibenarkan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Kamarudin berkata, pihak Kedutaan Brazil di negara ini juga sudah menjelaskan mengenai isu itu kepada JPV dan memaklumkan hanya 21 loji itu saja yang sedang disiasat dan diletakkan di bawah pemantauan ketat pihak berkuasa Brazil.

"JPV dan MAQIS akan meningkatkan pemantauan di pintu masuk dengan pengambilan sampel daripada setiap penghantaran dari Brazil untuk dihantar ke makmal JPV, bertujuan memastikan daging lembu dan keratan ayam yang diimport menepati standard keselamatan makanan.

"JPV juga sudah meminta laporan rasmi daripada Kedutaan Brazil mengenai isu ini termasuk laporan ujian kualiti yang dijalankan di semua loji yang diluluskan JPV," katanya.

166 dibaca
Berita Harian X