Rabu, 22 March 2017 | 5:20pm

Hafiz Hamidun pilih ibu tunggal

SHAH ALAM: Penyanyi, Hafiz Hamidun, bertunang dengan wanita pilihannya, Joy Revfa, di sini hari ini selepas 44 hari perkenalan antara mereka berlangsung.

Hafiz, 33, dan Joy Revfa atau nama sebenarnya Siti Arifah Amin, 30, kelihatan gembira dan menawan dalam persalinan berwarna pic pada majlis yang dihadiri sahabat dan rakan terdekat masing-masing.

"Kami akan bernikah pada 1 Mei depan di masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam di sini.

"Saya gembira kerana selepas beberapa kali hubungan tidak kesampaian, akhirnya hajat saya untuk mendirikan masjid semakin hampir," katanya kepada BH Online.

Pada majlis terbabit, Ibu Hafiz, Laila Sarji, menyarungkan cincin ke jari manis Joy. Pihak perempuan memberi tujuh dulang hantaran berbalas lima daripada pihak lelaki.

Bercerita lanjut, Hafiz berkata majlis pertunangan itu diadakan bagi menjelaskan spekulasi selepas hubungannya dengan usahawan kosmetik yang juga seorang ibu tunggal itu tersebar, baru-baru ini.


HAFIZ bersama tunangnya, Joy Revfa dan anak, Arryan Firdaus selepas majlis pertunangannya di Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman


IBU Hafiz Hamidun, Laila Sarji menyarungkan cincin kepada Joy Revfa atau nama sebenarnya Siti Arifah Amin pada majlis pertunangannya bersama penyanyi nasyid kontemporari, Hafiz Hamidun di The Venue Seksyen 15, Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman

Kata penyanyi Jodoh Berdua ini, hatinya terpaut pada wanita berkenaan selepas melihat beliau menolak kereta sorong anaknya sambil mengusung barangan.

"Hati saya tersentuh dan kagum melihat Joy yang cekap menguruskan anaknya meskipun ketika itu dirinya sendirian. Jujurnya, saya tidak mengenali Joy ketika itu dan tidak tahu siapa dia sebenarnya," katanya.

Hafiz berkata, beliau juga semakin rapat dengan anak tunangnya itu, Arryan Firdaus, yang baru berusia tiga tahun.

Joy pula ketika ditemui berkata, beliau bersyukur kerana dipertemukan jodoh dengan Hafiz dan yakin lelaki itu akan membimbingnya menjadi insan lebih baik.

"Paling mencuri hati ini apabila Hafiz bijak mengambil hati anak saya, Arryan. Saya turut berharap peminat Hafiz dapat menerima saya dan saya pula akan sentiasa menyokong kerjaya seni bakal suami," katanya.

6859 dibaca
Berita Harian X