;
Isnin, 20 March 2017 | 12:14pm

Gelaran kelima Federer di Indian Wells


ROGER Federer menjulang trofi apabila menjuarai Masters ATP Indian Wells, hari ini. Pada final menentang Stan Wawrinka, Federer menang 6-4, 7-5. - Foto EPA

INDIAN WELLS: Roger Federer meneruskan prestasi cemerlang dengan merangkul gelaran kelima tenis Masters ATP Indian Wells, hari ini hasil kemenangan 6-4, 7-5 ke atas rakan senegaranya di final, Stan Wawrinka.

Kemenangan pada pertemuan dua bintang Switzerland itu menyaksikan Federer menyamai rekod Novak Djokovic yang turut memiliki lima gelaran di Indian Wells, sekali gus menambah kejuaraan yang dimiliki pada 2004, 2005, 2006 dan 2012.

Pada usia 35 tahun, Federer menjadi pemain tertua memenangi gelaran elit Masters ATP mengatasi rekod Andre Agassi yang sebelum ini memenangi gelaran di Cincinnati pada 2004 di usia 34 tahun.

Tahun lalu, Federer terpaksa berehat enam bulan selepas mengharungi pembedahan lutut namun dia kembali penuh bergaya dengan memenangi kejuaraan ke-18 Grand Slam di Terbuka Australia pada Januari.

"Ia satu lagi minggu seperti kisah dongeng," kata Federer yang terlepas aksi di Indian Wells tahun lalu berikutan kecederaan.

"Saya tidak terkejut seperti di Australia, namun ia masih kejutan besar, besar bagi saya, lebih daripada itu menang di sini sekali lagi dan menewaskan pemain seperti saya lakukan dan dengan cara saya.

"Tiada yang lebih menggembirakan saya. Ia satu nikmat, permulaan yang besar bagi saya. Tahun lalu, saya tidak memenangi sebarang gelaran. Saya tidak fikir saya akan berada di mana-mana final mungkin hanya di Brisbane tahun lalu.

"Perubahannya dramatik dan ia hebat," kata Federer yang akan mengubah sasarannya bagi memperbaiki ranking dunia tahun ini.

Berdasarkan rekod, daripada 22 pertembungan Federer dan Wawrinka, 19 daripadanya menjadi miliki Federer termasuk pertembungan separuh akhir di Melbourne, Januari lalu. - AFP

142 dibaca
Berita Harian X