Khamis, 16 March 2017 | 11:14pm
FRANK Bernhardt (kanan) pada sesi latihan pasukan Skuad Projek Sukan SEA 2017 di padang C Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.- Foto Osman Adnan

Bernhardt bawa pasukan bayangan ke Dubai

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad bawah 22 tahun negara (B-22), Frank Bernhardt menyifatkan senarai 23 pemain yang diumumkan hari ini, bagi menghadapi Kejohanan B-23 Piala Dubai di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula Isnin ini sebagai pasukan bayangan yang akan menggalas cabaran pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos depan.

Pengendali dari Jerman itu percaya skuad yang dibawa ke UAE kali ini adalah yang terbaik biarpun mengakui sering diuji pelbagai dugaan dalam usahanya menyediakan pasukan lengkap untuk merampas pingat emas pada temasya Sukan SEA nanti.

"Untuk mencapai kejayaan, dugaan pasti ada tidak kira dalam apa jua situasi dan tempat. Biarpun persiapan saya juga sering terganggu ekoran pelbagai masalah yang timbul, saya tetap fokus dengan tugas iaitu membentuk pasukan kuat di Sukan SEA.

"Saya percaya barisan pemain yang kami bawa kali ini adalah yang terbaik dan mereka inilah harapan untuk memastikan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) memenangi emas dapat diraih," katanya.

Dalam senarai pemain yang diumumkan hari ini, Bernhardt menggugurkan tujuh pemain dan hanya menyenaraikan 23 nama ke saingan Piala Dubai itu.

Antara pemain yang digugurkan ialah Amirul Hisyam Awang Kechik, Zarulizwan Mazlan, Tommy Mawat Bada, Shahrul Hakim Rahim, Matthew Davies, Amierul Hakimi Awang dan Arif Anwar.

"Apa yang perlu difahami semua orang, ini adalah pemain terbaik yang dimiliki ketika ini dan ia sesuai dengan pelan rancangan permainan saya," katanya.

Diundi dalam Kumpulan B, anak buah Bernhardt akan memulakan kempen di UAE bertemu China pada 20 Mac, diikuti Arab Saudi (23 Mac) dan Jordan (26 Mac).

Senarai 23 pemain

Penjaga gol: Muhammad Haziq Nadzli (JDT), Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (Kelantan), Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim (Kedah)

Pertahanan: R Dinesh (Pahang), Muhammad Syahmi Safari (Selangor), Dominic Tan Jun Jin (JDT), Muhammad Aqil Irfanuddin Mohd Sabri dan Mohamad Arif Fadzilah Abu Bakar (T-Team), Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak (JDT II), Mohd Adib Zainuddin (Felcra FC), Muhammad Fauzan Mohd Fauzi (Negeri Sembilan), Muhammad Syazwan Zaipol Bahari (PKNP FC)

Pemain tengah: Muhammad Danial Ashraf Abdullah (Kelantan), Muhammad Safawi Rasid (JDT), Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri (Perak), Muhammad Irfan Zakaria (Kuala Lumpur), Nur Shamie Iszuan Amin (Sarawak)

Penyerang: Muhd Jafri Muhammad Firdaus Chew, Mohamed Syamer Kutty Abba dan S.Kumaahran (Pulau Pinang), Adam Nor Azlin (Selangor), N. Thanabalan (Felcra FC), Muhammad Syafiq Ahmad (Kedah)

193 dibaca
Berita Harian X