;
Selasa, 14 March 2017 | 6:39pm

Bekas pemain Chelsea ke Indonesia


Bekas pemain tengah Chelsea, Real Madrid dan AC Milan, Micheal Essien, disahkan menyertai kelab Indonesia, Persib Bandung.

JAKARTA: Bekas pemain tengah Chelsea, Real Madrid dan AC Milan, Micheal Essien, disahkan menyertai kelab Indonesia, Persib Bandung, menerusi pengumuman dalam laman sosial pasukan itu, hari ini.

Pemain Ghana berusia 34 tahun itu adalah pemain berprofil tinggi untuk bola sepak Indonesia selepas wira Piala Dunia bagi Cameroon, Roger Milla dan pemenang Piala Dunia bersama Argentina, Mario Kempes beraksi di negara itu pada tahun 90-an.

Essien yang menjadi ejen bebas sejak meninggalkan kelab Greek, Panathinaikos pada hujung musim lalu memenangi Liga Juara Juara, dua gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) dan empat Piala FA ketika beraksi sembilan musim bersama The Blues.

Dia turut beraksi dalam dua edisi Piala Dunia bersama Ghana dan merakam 59 penampilan sebelum bersara pada Piala Dunia 2014 di Brazil.

Persib mendedahkan beberapa gambar dengan jersi nombor lima seperti pernah dimiliki Essien ketika mewakili Chelsea sebelum memaparkan beberapa lagi gambar pemain terbabit bersama pegawai pasukan itu.

Berpangkalan di Bandung, Jawa Barat, Persib adalah antara pasukan yang mendapat sokongan terbesar di Indonesia dan menamatkan saingan Piala Presiden di tangga ketiga.

Bagaimanapun, tarikh musim baharu liga di Indonesia belum diumumkan. - Reuters

415 dibaca
Berita Harian X