Ahad, 12 March 2017 | 12:07am

Lisdawati sanggup terima watak 'nenek kebayan'

KUALA LUMPUR: Pelakon Lisdawati, 38, mengakui berdepan masalah mencari karakter bersesuaian usia hingga mencetuskan tanggapan beliau enggan menerima tawaran yang memerlukannya berlakon watak matang.

Lisdawati atau nama penuhnya, Nisdawati Nazaruddin berkata, dirinya sentiasa bersikap terbuka, malah bersedia mempertimbangkan setiap tawaran yang datang kerana jiwanya sudah sebati dengan dunia yang diceburinya sejak tahun 2000.

Isteri kepada pelakon Fauzi Nawawi itu, bagaimanapun, menerima hakikat pada usianya ketika ini, agak sukar untuk produksi menawarkan watak yang sesuai kerana mereka juga terikat dengan kriteria tertentu dalam menentukan pemilihan pelakon.

"Siapa kata saya tak terima watak tua? Saya tidak kisah jika diberi watak sebagai kakak, ibu, malah jika ditawarkan karakter nenek kebayan sekali pun saya sedia mempertimbangkan sekiranya jalan ceritanya menarik.

"Pernah sekali saya ditawarkan watak emak. Tetapi apabila nama saya dicadangkan kepada stesen televisyen, mereka menolak kerana berpendapat, karakter itu tidak bersesuaian dengan usia saya. Mungkin pada pandangan mereka, saya masih muda untuk membawakan watak ibu.

"Saya mendapat tahu watak itu akhirnya diserahkan kepada pelakon lebih senior. Perkara ini, bagaimanapun bukan hanya berlaku kepada saya malah pelakon senior lain turut berdepan dilema sama apabila usia menganjak lewat 30-an.

"Tidak dinafikan, ada segelintir pelakon sebaya belum bersedia menerima watak lebih matang kerana jiwa mereka masih muda," katanya kepada BH PLUS.


PELAKON Lisdawati. - Foto Saifullizan Tamadi


LISDAWATI menjual baju kebaya dan tudung di bawah jenama Felice Style by Lisdawati, kerjasamanya bersama Butik Balqis Eksklusif. - Foto Aziah Azmee

Ambil tempahan jahit pakaian

Lisdawati mengakui, gara-gara persepsi itu, tawaran berlakon semakin kurang diterima hingga memaksanya melakukan kerja sampingan seperti mengambil tempahan menjahit pakaian bagi menampung kos kehidupan.

Pelakon yang pernah mencipta nama menerusi filem seperti KL Menjerit, Black Maria dan Santau itu juga sudah hampir dua tahun tidak berlakon, bukan kerana sikapnya yang terlalu cerewet namun rezeki masih belum menyebelahinya.

Mengisi masa lapangnya selain menguruskan keluarga, Lisdawati turut memberikan fokus kepada perniagaan dengan menjual baju kebaya dan tudung di bawah jenama Felice Style by Lisdawati, kerjasamanya bersama Butik Balqis Eksklusif.

"Mungkin faktor usia menyebabkan kebanyakan watak yang ditawarkan tidak memihak kepada saya. Tidak mengapa, saya anggap mungkin tiada rezeki.

"Saya bagaimanapun, tidak terus menyepi kerana masih menerima tawaran berlakon dengan memegang watak kecil. Dalam tempoh itu, saya mula menceburi bidang perniagaan fesyen Muslimah apabila bekerjasama dengan butik Balqis.

"Peranan saya adalah memberi khidmat nasihat mengenai material dan fesyen yang bersesuaian dengan kehendak pelanggan. Saya dan pemilik butik terbabit bagaimanapun, bergabung untuk tampil dengan jenama Felice Style. Baju yang dihasilkan adalah rekaan khas saya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Lisdawati menyifatkan jadual hariannya sepanjang tahun ini lebih padat dan tersusun dengan kesibukan menguruskan perniagaan selain ingin kembali aktif dalam lakonan.

Lisdawati turut menerima cabaran baharu dalam kerjaya apabila menerima tawaran sebagai pengacara bagi program Detik Duka siaran RTM.


LISDAWATI menerima tawaran sebagai pengacara bagi program Detik Duka siaran RTM. - Foto Aziah Azmee


LISDAWATI bersama suami, Fauzi Nawawi. - Foto Aziah Azmee

INFO

  • Sebati dengan dunia yang diceburi sejak tahun 2000.
  • Mengambil tempahan menjahit pakaian bagi menampung kos kehidupan.
  • Menjual baju kebaya dan tudung di bawah jenama Felice Style by Lisdawati, dengan kerjasama Butik Balqis Eksklusif.
698 dibaca
LISDAWATI tidak kisah jika diberi watak tua sekiranya jalan ceritanya menarik. - Foto Saifullizan Tamadi
Berita Harian X