Sabtu, 11 March 2017 | 6:41pm

Pertahankan kelangsungan parti


DATUK Seri Hishammuddin (tengah) bersalaman dengan pemimpin bahagian UMNO yang hadir pada Majlis Perasmian Mesyuarat Berkelompok UMNO Cawangan-Cawangan Bahagian Masjid Tanah Tahun 2017 di Dewan Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), Masjid Tanah, Melaka. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

ALOR GAJAH: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menasihatkan semua kepimpinan parti di peringkat cawangan dan bahagian supaya mempertahankan kelangsungan parti ketika situasi politik negara dilambung gelora besar.

Beliau berkata, sikap mempertahankan perjuangan parti menjadi agenda terpenting dalam UMNO meskipun berlaku pergolakan kecil yang menyebabkan beberapa pemimpin serta bekas pemimpin bertindak meninggalkan parti.

"Walau apa yang berlaku ketika ini, suka atau tidak, kita perlu mendahulukan parti dan bangsa, berbanding individu.

"Tanpa ragu-ragu, kita meletakkan juga kepentingan rakyat sebagai keutamaan. Tinggalkan kepentingan lain, tanpa berdolak-dalih dahulukan perjuangan sebenar kita tanpa sebarang alasan," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Berkelompok Cawangan UMNO Bahagian Masjid Tanah di Kolej Kemahiran Tinggi MARA, di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir, Ketua Puteri UMNO yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata, ahli UMNO perlu bangkit untuk mempertahankan keutuhan parti dalam berdepan pelbagai cabaran bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Katanya, UMNO perlu sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi bermula sekarang dengan berfikir di luar kotak untuk memperkukuhkan parti.

"Parti ini juga perlu dilihat sebagai sebuah parti yang bersedia kerana ketika ini kita berdepan dengan golongan pengundi baharu dan generasi yang dikuasai oleh media sosial. Terserah kepada kita sama ada hendak melangkah dengan berani atau tunduk mengalah dan takut kepada kekalahan.

"Namun, ini bukan cara kita, ...kita tidak boleh biarkan anak cucu kita tentukan nasib kita pada masa depan dengan wujudkan satu gelombang yang bermula dari sekarang untuk meneruskan perjuangan parti keramat ini," katanya.

27 dibaca
Berita Harian X