Khamis, 9 March 2017 | 5:13pm

Kim Swee senarai 5 muka baharu


- Foto hiasan NSTP

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaysia akan tampil dengan sedikit berbeza untuk aksi Kelayakan Piala Asia 2019 berdepan Korea Utara pada 28 Mac ini, apabila beberapa muka baharu dipanggil untuk menyertai kem latihan pasukan negara bermula Isnin ini.

Daripada senarai kali ini, pengendalinya Datuk Ong Kim Swee mengekalkan 18 pemain daripada skuad yang menamatkan kempen Piala Suzuki AFF 2016 di Yangon, Myanmar, November lalu pada peringkat kumpulan.

Paling mencuri tumpuan pastinya penyenaraian tonggak tengah Kedah, Muhammad Akram Mahinan serta penjaga gol FELDA United, Mohd Farizal Harun.

Tiga pemain baharu lain yang turut dipanggil ialah pertahanan Pahang, Mohd Afif Amiruddin, Khair Muhammad Jefri Jones (Melaka United) dan pemain tengah Perak, Mohamad Nasir Basharudin yang sekali lagi diberi peluang menyarung jersi negara.

Lima pemain yang digugurkan kali ini adalah penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan), Irfan Fazail (Johor Darul Ta'zim II), Ahmad Fakri Saarani (Kedah), Darren Lok (JDT) dan Norshahrul Idlan Talaha (FELDA United).

Bagaimanapun, Kim Swee terpaksa memulakan sesi latihan pertama pada Isnin dengan hanya 19 pemain kerana empat pemain masing-masing dua daripada JDT dan FELDA United terbabit dengan saingan Piala AFC 2017.

Pemain negara akan diuji dalam perlawanan persahabatan menentang Filipina di Manila pada 22 Mac ini yang juga perlawanan sulung skuad Harimau Malaysia pada 2017.

Perlawanan pemanas badan ini adalah sebahagian daripada persiapan skuad negara menghadapi aksi pertama Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Korea Utara yang dijadualkan pada 28 Mac ini.

Namun keputusan rasmi mengenai venue dan status aksi sulung Kelayakan Piala Asia 2019 itu dijangka diumum Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), esok.

Senarai 23 pelatih Harimau Malaysia

Penjaga gol: Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy (Perak), Mohd Farizal Harun (FELDA United), Mohd Khairulazhan Mohd Khalid (Selangor)

Pertahanan: Muhammad Shahrom Abdul Kalam (Perak), Nazirul Naim Che Hashim (Perak), Khairul Helmi Johari (Kedah), Mohd Rizal Mohd Ghazali (Kedah), Fadhli Shas (JDT), Matthew Davies (Pahang), Mohd Afif Amiruddin (Pahang), Khair Muhammad Jefri Jones (Melaka), Ronny Harun (Sarawak).

Tengah: Shahrul Mohd Saad (Perak), Mohamad Nasir Basharudin (Perak), Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak (Perak), Baddrol Bakhtiar (Kedah), Muhammad Akram Mahinan (Kedah), Mohd Syazwan Zainon (Kedah), Muhammad Hadin Azman (Felda), S Veenod (Selangor).

Penyerang: Ahmad Hazwan Bakri (JDT), Mohd Amri Yahyah (Melaka), Mohd Safee Mohd Sali (PKNS)

384 dibaca
Berita Harian X