Selasa, 7 March 2017 | 3:37pm

Malaysia sudah sedia untuk tenaga nuklear


MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri.

KUALA LUMPUR: Laporan akhir Kajian Infrastruktur Nuklear Bersepadu (INIR) Misi Fasa 1 akan dibentangkan kepada Kabinet minggu depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri.

Penilaian tiga fasa, yang dimulakan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), memuktamadkan bahawa Malaysia sudah bersedia sepenuhnya, dan sudah membangunkan asas pengetahuan yang baik untuk membuat keputusan berdasarkan maklumat bagi memperkenal kuasa nuklear.

Menteri itu, berkata Malaysia mempunyai 30 hari untuk bertindak balas terhadap cadangan yang dibuat dalam laporan itu, yang menilai status negara baharu yang berminat dan tahap kesediaan untuk membangunkan program tenaga nuklear.

Sebarang tindakan selanjutnya akan bergantung kepada kelulusan kerajaan," katanya kepada media selepas sesi pembukaan Persidangan Tahunan Nuklear Asia ke-8, sini hari ini.

Laporan itu juga memperakui bahawa Malaysia sudah menyelesaikan kebanyakan kajian yang diperlukan untuk Fasa 1, dan menunjukkan tahap pemahaman yang baik terhadap 19 isu infrastruktur nuklear IAEA.

INIR juga membuat lima cadangan dan 10 saranan untuk membantu pihak berkuasa negara membuat kemajuan dalam pembangunan infrastruktur.

"Cadangan utama dalam laporan itu adalah untuk mengukuhkan komitmen kerajaan dan meningkatkan kesedaran orang ramai untuk terus maju ke arah membuat keputusan berasaskan pengetahuan," katanya.

INIR juga disaran meningkatkan lagi peraturan dan undang-undang ke atas infrastruktur, selain pelan pembiayaan bagi loji kuasa nuklear dan mewujudkan operator-pemilik.

Nancy berkata ini selaras dengan syor dalam kajian yang dijalankan oleh Malaysia Nuclear Power Corporation sebagai langkah ke hadapan dalam pembangunan infrastruktur tenaga nuklear.

Terdahulu dalam ucapannya, Nancy berkata Malaysia mahu meneroka pilihan untuk menggunakan tenaga nuklear bagi memenuhi permintaan masa depan dan mempelbagaikan gabungan tenaga bagi Semenanjung Malaysia.

Rangka kerja pengawalseliaan dan perundangan yang menyeluruh perlu bagi program tenaga nuklear, dengan mengambil kira pengajaran daripada tragedi Fukushima, sedang dibangunkan.

Di samping itu, pelan komunikasi mengenai penggunaan lestari sumber tenaga juga akan dibangunkan bagi meningkatkan kesedaran dan pemahaman awam, serta menangani tanggapan awam mengenai program rasionalisasi subsidi tenaga.

Sementara itu, bagi membangunkan infrastruktur yang diperlukan untuk program tenaga nuklear, negara akan menjalankan tindakan serius untuk membangunkan sumber manusia mampan, berstruktur dan cekap, katanya.

Persidangan tenaga Nuklear Asia yang berlangsung hari ini dan esok itu mengumpul para pengawal selia, agensi tenaga nuklear, pengendali dan penyedia lesen dan masyarakat nuklear serantau dan antarabangsa.

- BERNAMA

93 dibaca
Berita Harian X