Jumaat, 3 March 2017 | 10:51pm

Nur Aliyah buru pingat 100m, 200m di Filipina

KUALA LUMPUR: Nur Aliyah Abdul Rahman yang meraih emas dalam acara pecut 100 meter (m) dan 200m di Kejohanan Olahraga Terbuka Perak, Ahad lalu, kini memberi tumpuan pada Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara (SEA) di Filipina.

Atlet muda berusia 15 tahun dari Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail Bandar Penawar (SSTMI) itu tanpa ragu mensasarkan untuk meraih sekurang-kurangnya perak acara 200m pada kejohanan yang dijadualkan berlangsung di Ilagan, 27 dan 28 Mac ini.

"Kejayaan meraih pingat emas dalam acara 100m dengan catatan 12.01s dan 200m (24.06s) di Terbuka Perak memberikan saya semangat dan kekuatan untuk terus mencapai lebih banyak kejayaan tahun ini.

"Ia adalah kejohanan pertama untuk saya tahun ini dan juga catatan terbaik peribadi.

"Selepas ini saya akan berikan aksi terbaik pada Kejohanan Olahraga Remaja di Filipina. Saya sasarkan untuk mendapatkan pingat perak ataupun gangsa dalam acara 200m, yang juga acara kegemaran saya," katanya yang turut menyertai acara pecut 100m.

Mengulas mengenai ketiadaan jurulatihnya, Mohd Poad Md Kassim yang kini mengemudi atlet kebangsaan di Afrika Selatan, Nur Aliyah menyifatkan ia bukan masalah

"Walaupun jurulatih saya, Mohd Poad berada di Afrika Selatan, saya dijaga pembantu jurulatih. Dia akan memberikan saya program untuk segala latihan buat masa ini.

"Tidak ada masalah buat saya dan masih dapat teruskan latihan seperti biasa kerana dalam masa sama saya ingin perbaiki teknik larian untuk menjadi lebih pantas selepas ini," katanya.

Sebagai rekod, Nur Aliyah pernah mewakili Johor dalam acara 100m dan 200m pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak, tahun lalu.

Berita Harian X