Ahad, 26 Februari 2017 | 12:05am

'Prestasi saya tak jauh beza dengan Yoke Meng' - Ewee Mung

SKUAD badminton negara pernah berada di kemuncak kegemilangan dalam saingan berpasukan lelaki Piala Thomas. Rekod merangkul lima kali kejuaraan membuktikannya dengan kali terakhir piala keagungan itu singgah di tanah air pada tahun 1992.

BH Sukan memaparkan kisah perjuangan wira negara serta individu di belakang tabir yang berjuang memastikan kejayaan pada tahun 1992 di Stadium Negara, Kuala Lumpur. Bagi minggu ini, wartawan BH Sukan, HAIKA KHAZI mendapatkan pemain simpanan perseorangan negara, Wong Ewee Mun yang menjadi sebahagian tenaga penting kemenangan Malaysia, 25 tahun lalu.

SHAH ALAM: Malaysia muncul juara Piala Thomas 1992 kerana skuad badminton negara mempunyai ramai pemain berbakat yang mempunyai tahap disiplin, kesungguhan dan kerjasama berpasukan serta semangat juang tinggi.

Malah, hubungan antara pemain dengan pengurusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan jurulatih ketika itu umpama sebuah keluarga besar selepas Skuad Piala Thomas 1992 mula dibentuk sejak 1988 lagi.

Pemain simpanan Skuad Piala Thomas 1992, Wong Ewee Mun, berkata kehadiran ramai pemain berbakat membuatkan jurulatih dan pengurusan pasukan Malaysia hampir pecah kepala untuk memikirkan dan memilih siapakah pemain perseorangan dan beregu yang bakal mewakili negara.

Sebagai contoh Ewee Mun berkata walaupun tidak pernah diturunkan sepanjang pusingan akhir Piala Thomas 1992, namun prestasi beliau tidak jauh bezanya dengan Kwan Yoke Meng yang diturunkan selaku pemain perseorangan ketiga Malaysia.

Bagaimanapun, jurulatih perseorangan negara ketika itu, Han Jian tetap mempertahankan Yoke Meng sebagai calon paling sesuai untuk perseorangan ketiga.

Justeru, Han Jian mengakui kekalahan Yoke Meng kepada Wong Ewee Mun 10-15, 15-3, 13-15 pada perlawanan ujian sebelum pusingan akhir Piala Thomas 1992 bermula di Stadium Negara, tidak mengubah pendapat Han Jian mengenai pemilihan pemain perseorangan ketiga Malaysia.


BEKAS pemain badminton negara, Wong Ewee Mun (kiri) dan Kwan Yoke Meng. - Foto Osman Adnan

Format lama ada kelebihan

"Saya terpaksa akur kerana Han Jian menegaskan bahawa beliau lebih percayakan Yoke Meng kerana lebih senior dan berpengalaman serta mempunyai corak permainan lebih meyakinkan untuk mencabar pemain dari luar negara berbanding saya.

"Bagaimanapun, Yoke Meng gagal mencapai tahap diharapkan apabila sering melakukan kesilapan dan gagal membaca kelajuan angin sehingga sering kalah mudah.

"Justeru, saya berpandangan sebenarnya lebih baik jurulatih menurunkan saya selaku pemain perseorangan ketiga bagi mengutip pengalaman bermain di Piala Thomas," katanya Ewee Mun yang berusia 21 tahun ketika itu.

Biar pun tidak pernah diturunkan, namun Ewee Mun tetap teruja dan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi serta bersorak sehingga hampir hilang suara untuk membakar semangat rakan sepasukan yang beraksi di gelanggang.

Ewee Mun berkata, dari segi corak latihan yang diterapkan oleh jurulatih ketika itu tidak jauh bezanya daripada sekarang tetapi apa lebih penting adalah kemahuan dan kesungguhan serta semangat juang ditunjukkan pemain badminton negara dulu jauh lebih tinggi daripada sekarang.

"Bagaimanapun, sesiapa yang mempunyai corak permainan agresif dan kelajuan smash memberi kelebihan kepada pemain badminton sekarang.


EWEE Mun (kiri) bersama rakan sepasukan selepas sesi latihan persiapan ke Piala Thomas.

"Di zaman kami dulu sistem kiraan 15 mata pula memberi kelebihan kepada pemain yang mampu bermain dalam tempoh jangka lama dan tahap kecergasan tinggi," katanya.

Sementara itu, Malaysia perlukan sentuhan tangan dan 'tonik ajaib' jika mahu mengulangi pencapaian skuad badminton 1992 untuk merampas kembali Piala Thomas pada tahun depan.

Ewee Mun berkata, peluang Malaysia untuk muncul juara Piala Thomas 2018 adalah tipis dan sukar kerana terlalu bergantung kepada Datuk Lee Chong Wei seorang sahaja.

Bagaimanapun, bekas juara kebangsaan itu tetap yakin Malaysia masih berpeluang untuk muncul juara Piala Thomas 2018 jika Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sudah bersiap sedia dari awal.

"Selain mengharapkan Chong Wei tidak kalah atau mengalami kecederaan ketika beraksi, kita juga perlu harapkan tuah akan berpisah kepada pasangan beregu Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan satu lagi mata disumbangkan oleh pemain perseorangan atau beregu lain.


BEKAS pemain badminton negara (dari kiri) Wong Ewee Mun, Kwan Yoke Meng, Foo Kok Keong dan Abd Rashid Sidek. - Foto Osman Adnan

Aktif main golf

"Justeru, saya berharap BAM akan memberi peluang kepada pemain muda sama ada dari dalam mahu pun luar badan induk itu beraksi di luar negara sebagai persediaan menghadapi pasukan lain yang lebih kuat. Di zaman moden sekarang sepatutnya pemain kita sudah beraksi di luar negara seawal usia 16 atau 17 tahun," katanya.

Biar pun sudah lama bersara sebagai pemain dan jurulatih badminton, namun kehidupan bekas pemain Ewee Mun, tidak dapat dipisahkan daripada sukan kegemarannya itu.

Selepas bersara sebagai pemain dan jurulatih, Ewee Mun kini bekerja dengan sebuah syarikat pembekal peralatan sukan jenama Kizuna yang mempunyai kepakaran membuat tali untuk raket badminton di Petaling Jaya, Selangor.

"Saya juga sering bermain golf bersama rakan bagi memenuhi masa terluang di hujung minggu atau cuti umum," katanya.

361 dibaca
Berita Harian X