Sabtu, 25 Februari 2017 | 1:02pm

Lelaki 57 tahun buat kenyataan jelik terhadap Sultan Johor


KETUA Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

JOHOR BAHRU: Polis Johor menahan seorang lelaki berusia 57 tahun selepas dipercayai mengeluarkan kenyataan jelik dan menghasut terhadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata suspek ditahan susulan laporan polis berkaitan penyalahgunaan laman media sosial dengan mengeluarkan kenyataan jelik dan menghasut, yang boleh menggugat keharmonian serta kesejahteraan negara.

Katanya, lelaki itu ditahan di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, kira-kira jam 10.45 malam tadi.

"Polis turut merampas simkad dan telefon bimbit yang dipercayai digunakan oleh suspek bagi membuat kenyataan itu menerusi aplikasi Facebook (FB)," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Wan Ahmad Najmuddin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 sehari bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan mana-mana perkhidmatan aplikasi media sosial bagi mengeluarkan kenyataan palsu dan yang menyakitkan hati, menganiaya, mengugut serta mengganggu orang lain.

"Saya juga mengingatkan, polis Johor tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terbabit," katanya.

Berita Harian X