Jumaat, 24 Februari 2017 | 6:14pm

Junjung titah Sultan Johor, usah racuni fikiran rakyat

JOHOR BAHRU: Ahli politik luar diminta akur serta menghormati titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar semalam, yang tidak mahu ada pihak cuba menunjuk pandai serta mencampuri urusan negeri ini.


Sheikh Nafiq Alfirdaous

Exco Pemuda UMNO, Sheikh Nafiq Alfirdaous, berkata amaran baginda perlu dijadikan iktibar kepada semua ahli politik supaya tidak sesekali cuba meracuni serta memecah-belahkan penduduk Johor yang sentiasa bermuafakat dengan dakyah serta fitnah melampaui batas.

"Titah Sultan Johor secara jelas tidak menyenangi serangan bertubi-tubi dan konsisten yang dibuat Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) yang bukan sahaja cuba mensabotaj ekonomi negeri ini malah mahu melihat hubungan baik antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kerajaan negeri serta istana berantakan.

"Ini bukan sesuatu yang baharu apatah lagi apabila melihat Perdana Menteri menunjukkan komitmen tinggi dalam menjadikan Johor sebagai kuasa ekonomi Malaysia sehingga Mahathir terpaksa menggambarkan seolah-olah tadbir urus kerajaan negeri begitu teruk dan menganiaya rakyat negeri ini.

"Sebaliknya, usaha Mahathir ini semata-mata bagi meruntuhkan kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN) di negeri ini apatah lagi beliau berdendam dengan Perdana Menteri, selepas anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir gagal diangkat ke kedudukan lebih baik di dalam parti serta kerajaan," katanya kepada BH.

Semalam, Sultan Johor ketika merasmikan Galeri Darurat Bukit Kepong, di Pagoh, Muar, dekat sini, memberi amaran kepada ahli politik luar supaya tidak tunjuk pandai dan mencampuri urusan negeri ini.

Baginda bertitah, jangan cuba menakutkan serta mengelirukan penduduk Johor dengan cerita dongeng yang direka-reka sehingga masyarakat berpecah-belah.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Manaf, berkata serangan berterusan Dr Mahathir terhadap pembangunan Johor menyebabkan kegusaran dalam kalangan penduduk Johor yang bermuafakat serta bersatu-padu.

Katanya, titah Sultan Johor juga tepat pada masanya bagi mengelakkan pihak luar terus menabur virus meracuni pemikiran penduduk negeri ini sekali gus cuba menggagalkan perancangan ekonomi bagi kemakmuran masyarakat Johor.

"Tun Mahathir terlupa rakyat Johor kuat semangat permuafakatannya serta tidak mudah diperdayakan dengan dakyah pemimpin pembangkang yang tidak senang dengan agenda kerajaan memakmurkan ekonomi untuk manfaat rakyat," katanya.

85 dibaca
Berita Harian X