Rabu, 22 Februari 2017 | 9:21pm

Olahraga Perak All Comers dapat sambutan

KUALA LUMPUR: Kejohanan Olahraga Perak All Comers 2017 yang akan berlangsung di Stadium Perak di Ipoh, Sabtu dan Ahad ini, mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 800 atlet mengesahkan penyertaan berbanding hanya 600 saja, tahun lalu.

Acara tumpuan iaitu pecut 100 meter (m) mendapat sambutan terbesar apabila hampir 118 peserta lelaki dan 73 atlet wanita bertanding merebut gelaran.

Setiausaha Kehormat Persatuan Olahraga Negeri Perak, R Govindaraju berkata pada kejohanan tahun ini, semua acara balapan dan padang akan dipertandingkan, kecuali acara 3,000 meter (m) lari berhalangan.

"Kejohanan tahun ini mendapat sambutan yang hebat, mungkin kerana ini juga sebagai medan pemilihan ke Sukan SEA Kuala Lumpur untuk menepati kriteria ditetapkan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

"Bagi mengelakkan sebarang isu berbangkit, kami turut menyediakan 'photo finish' dan kiraan masa elektronik (electronic timing) untuk semua acara," katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, katanya kejohanan itu tetap meriah meskipun tanpa kehadiran atlet negara yang menjalani latihan dan pertandingan di Johannesburg, Afrika Selatan, termasuk pemegang rekod 100m negara, Khairul Hafiz Jantan.

Govindaraju menjelaskan, meskipun tanpa kehadiran beberapa nama besar, atlet lain turut mengambil bahagian, antaranya jaguh lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail, Adi Alifuddin Hussin (lontar peluru), Noor Shahidatun Nadia Mohamad Zuki dan R. Kirthana untuk lompat jauh.

Turut bertanding, Raja Nur Sheena Raja Azhar untuk acara 100m lari berpagar wanita serta M Kesavan (1,500m).

Turut diadakan pada hari terakhir kejohanan adalah pelancaran Kids Athletics, khusus bagi pelajar sekolah rendah menimba pendedahan dan minat dalam bidang olahraga.

49 dibaca
Berita Harian X