Rabu, 22 Februari 2017 | 9:14pm

Keuntungan Glomac naik 87.3 peratus

KUALA LUMPUR: Glomac Bhd dijangka mencatatkan prestasi kewangan lebih kukuh pada tahun kewangan 2017 (TK17), dengan keuntungan sebelum cukai meningkat 63.2 peratus kepada RM153.3 juta bagi tempoh sembilan bulan yang akan berakhir 30 April 2017.

Manakala keuntungan bersih dalam tempoh dikaji melonjak 87.3 peratus kepada RM109.2 juta mengatasi keuntungan bersih bagi tempoh sama tahun lalu sebanyak RM58.3 juta.

Prestasi memberangsangkan itu disumbangkan menerusi jualan tanah pembangunan Cheras dan kemajuan mantap projek pembangunan utama syarikat itu yang sedang dilaksanakan, iaitu Saujana KLIA, Lakeside Residences, Saujana Rawang dan Sri Saujana, Johor.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Glomac, Tan Sri FD Mansor, berkata pelancaran projek pembangunan oleh kumpulan baru-baru ini mendapat sambutan sangat menggalakkan.

"Pelancaran terbaru, Lakeside Residences iaitu pembangunan kediaman bersepadu utama Glomac di Puchong baru-baru ini, membabitkan 66 rumah teres dua tingkat dengan nilai pembangunan kasar (NPK) RM50 juta.

"Ia mendapat sambutan yang baik dengan jualan lebih daripada 50 peratus pada bulan pertama pelancaran, sementara fasa sebelumnya hampir habis dijual," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, projek di Saujana Perdana juga mencatatkan keputusan memberangsangkan apabila pelancaran awal membabitkan 264 rumah teres dua tingkat dengan NPK berjumlah RM107 juta mencatatkan jualan lebih 50 peratus.

"Saujana Perdana terletak bersebelahan Bandar Saujana Utama, sebuah kawasan perbandaran Glomac yang berkembang pesat dan siap sepenuhnya di Sungai Buloh," katanya.

Mengambil kesempatan daripada momentum pelancarannya, FD Mansor berkata, Glomac bercadang untuk melancarkan satu lagi produk pembangunan bernilai RM696 juta pada suku tahun semasa.

"Pembangunan itu meliputi fasa baharu taman perumahan sedia ada seperti Saujana KLIA, Saujana Perdana dan Sri Saujana, iaitu produk terbukti yang terus menarik perhatian pembeli rumah dalam segmen pasaran mampu milik.

"Kumpulan juga bakal melancarkan Plaza Kelana Jaya bernilai RM363 juta, sebuah projek kediaman pegangan bebas bersepadu yang merangkumi pangsapuri perkhidmatan dan pejabat kedai," katanya.

37 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »