Jumaat, 17 Februari 2017 | 4:40pm

Bayar tol PLUS secara elektronik mulai April


PENGERUSI Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali (tengah) bergambar bersama Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Azman Ismail (dua kanan); Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Aziz Abdullah (kiri); Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Ismail Md Salleh (dua kiri) dan Ketua Pegawai Operasi PLUS, Mohammad Fuad Khusairi pada Taklimat Media Pelaksanaan Sistem Kutipan Tol Secara Elektronik di Kawasan Rehat dan Rawat (RNR) Gunung Semanggol arah selatan di Bagan Serai, hari ini. - Foto Abdullah Yusof

BAGAN SERAI: Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) akan melaksanakan sepenuhnya sistem kutipan tol elektronik di semua 94 plaza tol di semua lebuh raya kendaliannya bermula 26 April ini.

Plaza tol berkenaan ialah 77 di Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) serta Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE); sembilan di Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE); tiga di Lebuhraya Linkedua; masing-masing dua di Seremban- Port Dickson serta Lebuhraya Persekutuan Laluan 2 (FHR2) dan satu di Jambatan Pulau Pinang.

Pengarah Urusan PLUS Malaysia Bhd, Datuk Azman Ismail, berkata bermula tarikh itu, pengguna perlu membayar tol menggunakan kad PLUSMiles, kad Touch 'n Go atau pun SmartTAG.

Beliau berkata demikian ketika Taklimat Media Pelaksanaan Sistem Kutipan Tol Secara Elektronik di Kawasan Rehat dan Rawat (RNR) Gunung Semanggol arah selatan di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Beliau berkata, langkah yang dilaksanakan itu secara tidak langsung akan membantu orang ramai melalui plaza tol dengan lebih mudah, pantas dan selesa.

Azman berkata, bagi memastikan operasi kutipan elektronik berjalan lancar, semua plaza tol akan membuka kaunter tambah nilai yang akan membolehkan pengguna menambah nilai kredit selama 24 jam pada peringkat awal pelaksanaannya.

Katanya, selain itu PLUS turut menyediakan gerai jualan kad PLUSMiles di semua pusat khidmat pelanggan sepanjang lebuh raya PLUS bermula jam 7 pagi hingga 10 malam setiap hari.

64 dibaca
Berita Harian X