Selasa, 14 Februari 2017 | 3:12pm

UTM-IJN jalin kerjasama penyelidikan perubatan


Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Wahid Omar. - Foto Dazar Suarman

JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjalin kerjasama dengan Institut Jantung Negara (IJN) bagi membangunkan penyelidikan kardiovaskular, sistem kawalan dan rawatan pesakit diabetes.

Menerusi kerjasama itu, penyelidikan dan pembangunan (R&D) khusus turut dijalankan bagi program pemprosesan pangkalan data pesakit, selain perkongsian pengetahuan mengenai bidang berkaitan.

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Wahid Omar, berkata UTM berperanan dalam menyumbang kepakaran kejuruteraan (penyelidikan dan pembangunan), manakala IJN menyediakan nasihat pakar perundingan perubatan termasuk menjadi tempat ujian klinikal.

"UTM dan Pusat Kejuruteraan Kardiovaskular (IJN-UTM) ditubuhkan sejak tahun 2013 bagi membangunkan sistem penyampaian perubatan yang lebih berkesan, sekali gus mengembangkan keberkesanan dan kesesuaiannya ke peringkat lebih tinggi.

"Antara pencapaian usaha sama ini ialah perolehan geran penyelidikan RM8.3 juta bagi penyelidikan tempatan dan antarabangsa, selain menjana pendapatan RM970,749 dan menghasilkan 323 penerbitan jurnal saintifik, 36 harta intelek (paten, hak cipta) serta satu produk yang dikomersialkan.

"Kerjasama berkenaan diperkukuhkan dengan penganugerahan geran penyelidikan RM100,000 bagi pelaksanaan projek bertajuk Penyampaian Insulin Secara Berterusan Menerusi Microfluidik Transdermal (lapisan kulit).

"Projek fasa pertama bagi tempoh setahun ini dijangka memberi banyak manfaat terutama kepada pesakit diabetes menerusi penghasilan ubat lebih baik kepada penerima insulin dengan kadar sepatutnya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara UTM dan IJN di Fakulti Bio Sains dan Kejuruteraan UTM, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Prof Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub dan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTM, Prof Dr Ahmad Fauzi Ismail.

Wahid berkata, projek penyelidikan berkenaan diadakan berikutan ada sebahagian besar penghidap kencing manis mengalami penyakit berkaitan jantung, selain pengurusan ubat farmakologi ke atas pesakit itu agak rumit.

Katanya, kerjasama antara lain membabitkan penyediaan 43 peranti perubatan bernilai RM200,000 kepada pihak UTM bagi tujuan pengajaran dan aktiviti penyelidikan, khususnya dalam bidang bioperubatan.

268 dibaca
Berita Harian X