Ahad, 12 Februari 2017 | 8:42pm
KETUA Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Remaja ditahan keluar kenyataan jelik pada TMJ

JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang remaja lelaki di sini, petang tadi yang dipercayai membuat kenyataan jelik terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi aplikasi WhatsApp.

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata suspek berusia 19 tahun itu ditahan pada jam kira-kira 3.25 petang tadi kerana membuat kenyataan jelik yang boleh menggugat keharmonian dan kesejahteraan negara.

Beliau berkata, ia susulan satu laporan diterima oleh polis Johor pada 4 Februari lalu, jam 1.37 petang berhubung penyalahgunaan laman sosial berkenaan.

"Polis juga merampas sekeping kad SIM yang dipercayai digunakan suspek bagi membuat kenyataan jelik terhadap Tunku Mahkota Johor melalui aplikasi WhatsApp.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan sekiranya disabitkan kesalahan mengikut seksyen ini boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi setahun atau kedua-duanya," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Wan Ahmad Najmuddin turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan mana-mana perkhidmatan aplikasi bagi mengeluarkan kenyataan palsu dan menyakitkan hati, menganiaya, mengugut dan mengganggu orang lain.

Berita Harian X