Ahad, 12 Februari 2017 | 12:06am

Menang tapi terkilan

Imbauan Piala Thomas: Skuad badminton negara pernah berada di kemuncak kegemilangan dalam saingan berpasukan lelaki Piala Thomas. Rekod merangkul lima kali kejuaraan membuktikannya dengan kali terakhir piala keagungan itu singgah di tanah air pada tahun 1992. BH Sukan akan memaparkan kisah perjuangan wira negara serta individu di belakang tabir yang berjuang memastikan kejayaan pada tahun 1992 di Stadium Negara, Kuala Lumpur. Bagi minggu ini, wartawan BH Sukan, JUMIATI ROSLY mendapatkan pemain perseorangan, Kwan Yoke Meng yang berkongsi rahsia kejayaan skuad negara.

KUALA LUMPUR: Menjadi sebahagian daripada skuad negara yang kali terakhir menjulang Piala Thomas pada tahun 1992 pastinya tidak akan dilupakan, namun bagi Kwan Yoke Meng dia agak terkilan kerana tidak dapat meraikan kejayaan bersama skuad negara ketika mata kemenangan diperoleh.

Diletakkan sebagai pemain perseorangan ketiga negara, Yoke Meng berkata semua pemain yang belum bertanding ditempatkan dalam Bilik VIP berikutan faktor keselamatan.

Katanya faktor keselamatan perlu diambil kira memandangkan pernah berlaku sebelum ini apabila penonton masuk ke gelanggang ketika Malaysia menewaskan Indonesia ketika Piala Thomas 1967.


PEMAIN perseorangan, Kwan Yoke Meng. - Foto Osman Adnan

Skuad negara menerusi gandingan Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiang memberi mata kemenangan 3-1 buat negara apabila mereka menewaskan Ricky Subagja-Rexy Mainaky 15-12, 10-15, 15-8.

"Ketika kemenangan itu, saya tak boleh turun meraikannya dan sebab itulah tidak banyak gambar yang dapat diabadikan ketika itu. Jadi saya agak kecewa apabila tidak dapat meraikan kemenangan bersama rakan sepasukan yang lain.

Lawan Joko lewat malam

"Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) yang kini dikenali Persekutuan Badminton Dunia (BWF)) pada ketika itu pula meletakkan peraturan supaya semua pemain perlu menghabiskan perlawanan biarpun kemenangan sudah diperoleh lebih awal," katanya yang kini dilantik Ketua Jurulatih Badminton di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

Selepas kejayaan Soon Kit-Beng Kiang, Yoke Meng berkata dia perlu meneruskan permainan menentang juara dunia, Joko Suprianto biarpun ketika itu waktu sudah melebihi 12 tengah malam.

"Pada masa itu, biarpun menang atau kalah ia tidak akan memberi kesan terhadap pasukan. Jadi saya hanya bermain untuk menamatkannya segera dan meraikan bersama rakan sepasukan lain," katanya yang tewas 3-15, 7-15.

Baginya, kejayaan yang paling bermakna buatnya adalah apabila dapat memberi mata kemenangan buat skuad negara ketika menentang Indonesia dalam pusingan separuh akhir Sukan Asia 1990 di Beijing.


PEMAIN perseorangan, Kwan Yoke Meng. - Foto Osman Adnan

"Ketika itu skuad negara yang bertanding dalam acara berpasukan adalah pasukan yang sama memenangi Piala Thomas 1992. Tetapi saya dapat rasakan lebih kepuasan apabila dapat memberi mata kemenangan kepada pasukan negara apabila ketika itu negara terikat 2-2 dengan Indonesia," katanya.

Pada temasya 1990 itu, Malaysia memperoleh pingat perak acara berpasukan apabila tewas kepada gergasi badminton China di final. Namun pada pusingan separuh akhir, Yoke Meng berjaya memberi mata kemenangan apabila menundukkan Hermawan Susanto 15-11, 8-15, 17-16.

Cemas tangan dipegang penyokong Indonesia

Pelbagai kisah di sebalik perlawanan pusingan akhir yang berlangsung pada Piala Thomas 1992, bagi Kwan Yoke Meng sendiri dia berdepan dengan situasi lucu apabila diekori seorang peminat lelaki Indonesia sepanjang dia berada di Stadium Negara ketika itu.

"Sampai sahaja di stadium, saya sudah perasan ada seorang peminat yang sentiasa mengekori ke mana saya pergi sehingga dia mengekori saya ketika berada di Bilik VIP.

"Selepas lama mengekori saya, akhirnya dia dapat juga pegang tangan saya dan selepas itu saya tidak nampak dia lagi. Tetapi tidak ada apa yang berlaku kepada saya selepas itu," kata Yoke Meng antara pemain skuad negara Piala Thomas 1992 yang mempunyai rupa yang kacak dan digilai ramai peminat ketika itu.

Katanya, keakraban 'satu hati' antara pemain ketika itu menjadikan antara faktor kemenangan negara pada malam itu.

Jangan keluar lewat malam

"Ketika ini, kita mempunyai pemain yang bagus tetapi pemikiran pemain perlu berubah jika mahu menang. Pemain sekarang tidak boleh bermain di bawah tekanan sedangkan kami dahulu berbeza sama sekali," katanya.

Pemain pada masa ini juga perlu membaiki disiplin diri sendiri jika mahu mengulangi kejayaan menjulang Piala Thomas pada 25 tahun lalu itu.

"Disiplin maksud saya adalah pada diri sendiri contohnya jika ada masa mereka perlu berehat, mereka perlulah berehat dan jangan keluar hingga lewat malam. Apabila mereka perlu fokus, berilah perhatian kerana sekarang terlalu banyak aktiviti lain yang mungkin boleh mengganggu mereka," katanya.

Yoke Meng mengakui soal disiplin itulah yang diterapkan kepada pemainnya kini supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama pernah dilakukan pemain pada zamannya.

FAKTA NOMBOR:

51 kemenangan yang dicipta Yoke Meng dalam perlawanan peringkat antarabangsa

Profil:

Nama: Kwan Yoke Meng

Tarikh lahir: 11 Januari 1966

Umur: 51 tahun

Tinggi: 1.75 meter

Asal: Kuala Lumpur

Acara: Perseorangan lelaki

Jawatan: Ketua Jurulatih Badminton Sekolah Sukan Bukit Jalil

Info:

Perlawanan bersama skuad negara di Piala Thomas 1992

Final

Joko Suprianto (INA) mn Kwan Yoke Meng (MAS) 15-3, 15-7

Separuh akhir

Liu Jin (CHN) mn Kwan Yoke Meng (MAS) 15-12, 15-13

142 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »