Ahad, 12 Februari 2017 | 12:06am

Uji fizikal di Gua Damai

GOMBAK: Adakah anda cukup berani mencabar kekuatan diri dengan melakukan pelbagai aktiviti lasak dan menguji kekuatan fizikal dan mental?

Jika jawapannya ya, ayuh kita sama-sama kunjungi Taman Ekstrim Gua Damai yang terletak berhampiran Kampung Wira Damai, Batu Caves, Gombak, Selangor bagi menguji kehebatan anda.

Bagi penulis, pengalaman mencuba sendiri pelbagai jenis sukan lasak termasuk meredah hutan, mendaki bukit, menerokai gua batu kapur, 'abseiling' dan 'flying fox' memang meninggalkan 1001 kenangan yang tidak dapat dilupakan sampai bila-bila.


PESERTA berpeluang merasai cabaran memanjat dinding batu kapur di Gua Damai Ekstrim Park. - Foto Luqman Hakim Zubir

Selain itu, Gua Damai juga sering menjadi tumpuan peminat sukan terjun udara atau 'base jump' dari serata dunia untuk menyertai acara Gua Damai International Base Jumping yang diadakan pada September, setiap tahun.

Baru-baru ini, penulis bersama 30 peserta termasuk 22 pelancong China dan Taiwan, ke Dataran Gua Damai XPark untuk menguji kemampuan diri.

Selepas diberi taklimat Pengurus Besar Wira Adventure Consultan, Mustapa Al-Bakri Omar berhubung prosedur keselamatan dan operasi standard (SOP) yang wajib dipatuhi, peserta melakukan senaman ringan sebagai persediaan untuk aktiviti lasak di Gua Damai.

Merangkak celah akar

Lengkap memakai pelbagai peralatan seperti topi keledar, harness, sarung tangan dan tali keselamatan, malah sempat menyembur gel penghalau nyamuk, peserta memulakan aktiviti lasak pertama iaitu mendaki bukit batu kapur yang menegak.

Berpeluh juga bagi mereka yang tidak pernah melakukannya. Selama dua jam menempuhi pelbagai halangan termasuk menuruni cerun yang curam lagi licin, melalui laluan di celah-celah pokok dan merangkak di bawah akar akhirnya tiba ke puncak, pada aras ketinggian melebihi 250 meter kira-kira jam 11 pagi.


PESERTA berpeluang untuk mengenali lebih dekat dengan flora dan fauna yang menghuni gua berkenaan seperti katak, lipan dan cengkerik yang sedikit berbeza berbanding kawasan lain. - Foto NSTP

Semua peserta kemudian terpaksa menggunakan 'flying fox' pada ketinggian 250 meter untuk turun ke kawasan tanah lapang bagi menikmati makan tengah hari. Selepas berehat sejam, peserta sekali lagi melakukan aktiviti lasak dengan menerokai Gua Anjing Besar, Gua Chili Padi dan Gua Damai.

Antara daya tarikan utama aktiviti ini ialah memberi peluang kepada peserta untuk mengenali lebih dekat akan flora dan fauna yang menghuni gua berkenaan seperti katak, lipan dan cengkerik yang sedikit berbeza berbanding kawasan lain.

Selain itu, peserta juga berpeluang melihat sendiri keindahan struktur 'stalagmite' dan 'stalactite' yang masih lagi aktif dalam gua batu kapur yang dianggarkan sudah terbentuk lebih 35,000 juta tahun lalu akibat kegiatan hakisan dan luluhawa yang berlaku.

Lihat matahari terbenam

Selepas selesai menerokai ketiga-tiga gua berkenaan, peserta berpeluang merasai cabaran memanjat dinding batu kapur di Gua Damai Ekstrim Park, sebelum berhenti rehat. Pada malamnya peserta dihidangkan dengan juadah makan malam sambil menyaksikan panorama matahari terbenam yang mengasyikkan.

Pemandu pelancong, Dino Goh, berkata beliau memang teruja dan gembira kerana dapat melakukan pelbagai aktiviti lasak di Gua Damai termasuk meredah hutan, mendaki bukit, menerokai gua serta memanjat dinding batu kapur.

"Walaupun penat dan letih tetapi saya amat berpuas hati kerana dapat melakukan pelbagai aktiviti lasak bersama anak serta isteri.


PESERTA berpeluang merasai cabaran memanjat dinding batu kapur di Gua Damai Ekstrim Park. - Foto Luqman Hakim Zubir

"Kalau diberi peluang memang kami mahu melakukannya sekali lagi kerana ia memang menyeronokkan dan mencabar," katanya kepada BH Plus.

Seorang peserta, Mohammad Soddiq Mustapa Al Bakri, 15, pula mengakui dia memang tidak pernah puas menyertai kegiatan menjelajah hutan, menerokai gua dan memanjat dinding batu kapur, walaupun sudah berpuluh kali melakukannya.

"Saya memang suka melakukan pelbagai aktiviti lasak kerana ia sudah sebati dengan kehidupannya. Bagi saya kegiatan lasak ini mampu menguji kesabaran, ketabahan, kekuatan fizikal dan mental," katanya.

Info lanjut hubungi: Wira Adventure Consultant Emel: guadamaixpark@gmail.com atau layari http://guadamai.blogspot.com atau www.guadamai.com atau www.guaconsultant.com dan hp: 0124812005 (Mustapa). Gps: "N 03 14.902" E 101 41.225".

INFO: Senarai sukan lasak yang ada di Gua Damai

1 Mendaki dinding batu kapur

2 Zip line atau flying fox

3 Base Jump

4 Jelajah hutan

5 Menerokai gua

6 Abseiling

7 Trek BMXU

261 dibaca
PESERTA ke Dataran Gua Damai XPark untuk menguji kemampuan diri. - Foto NSTP
ANTARA laluan mencabar yang harus ditempuhi peserta. - Foto NSTP
PESERTA berpeluang melihat sendiri keindahan struktur 'stalagmite' dan 'stalactite' yang masih lagi aktif dalam gua batu kapur. - Foto NSTP
ANTARA laluan mencabar yang harus ditempuhi peserta. - Foto NSTP
PESERTA berpeluang merasai cabaran memanjat dinding batu kapur di Gua Damai Ekstrim Park. - Foto Luqman Hakim Zubir
Berita Harian X