Khamis, 9 Februari 2017 | 11:04am

Prospek sektor pelancongan perubatan dijangka positif

KUALA LUMPUR: Prospek industri pelancongan perubatan Malaysia dijangka positif dalam jangka masa panjang dengan permintaan meningkat bagi perkhidmatan penjagaan kesihatan di peringkat tempatan dan luar negara, terutama daripada golongan yang semakin berkemampuan dan berusia susulan harga yang berpatutan.

Penganalisis Ekuiti Penyelidikan Malaysian Industrial Development Finance (MIDF), Athila Razali, berkata kebanyakan rawatan, seperti kardiovaskular dan gastrousus bahagian atas dan bawah, adalah lebih mahal di luar negara berbanding di Malaysia.

Beliau berkata, negara jiran Indonesia dan Singapura, membentuk jumlah terbesar pelancong perubatan, dengan industri itu turut menyaksikan peningkatan aliran dari Asia Barat dan negara Barat lain.

"Malaysia, dengan kepakaran perubatan yang meningkat dalam pelbagai bidang penjagaan kesihatan, turut menyaksikan minat yang meningkat dalam kesihatan dan rawatan pencegahan penyakit dari negara dengan kapasiti perbelanjaan yang tinggi," katanya kepada BERNAMA.

Bagaimanapun, Athila berkata, pelancongan perubatan masih penyumbang kecil kepada ekonomi Malaysia, berdasarkan angka daripada Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC).

Pada 2015, perolehan yang dijana daripada pelancongan perubatan adalah sebanyak RM1 bilion, disumbang lebih 850,000 pelancong perubatan ke Malaysia dan kerajaan mensasarkan peningkatan kepada RM1.3 bilion.

"Kami berpendapat walaupun sumbangannya kecil pada masa ini, ia akan meningkat, terutama dengan tambahan hospital swasta baharu di seluruh negara yang menyediakan pelbagai kepakaran perubatan dan sokongan," katanya.

MIDF berkata, keadaan mata wang semasa turut menjadikan Malaysia destinasi pelancongan perubatan yang lebih menarik disebabkan ia menjadi semakin mampu milik untuk mendapatkan rawatan di sini. - BERNAMA

43 dibaca
Berita Harian X