Khamis, 9 Februari 2017 | 12:04am

Ernie Zakri berguru dengan dua anak Pak Zain

KUALA LUMPUR: Mungkin ramai tidak tahu, juara program realiti Duo Star, Ernie Zakri, 24, memiliki pertalian darah dengan penyanyi dua beradik, Ziana dan Anuar Zain.

Bak kata pepatah, `ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi', begitulah perumpamaan keluarga berdarah seni ini.

Memiliki ibu dan bapa saudara bergelar superstar, Ernie yang sebelum ini muncul Juara Bintang RTM 2009, pasti mudah mendapatkan tip daripada Anuar dan Ziana. Mengapa tidak, lihatlah pencapaian dua beradik itu dalam dunia seni, bukan calang-calang penyanyi mampu mempertahankan reputasi gah seperti mereka.


PEMENANG Program Duo Star,Syamel dan Ernie Zakri di Konsert Akhir Duo Star di Wisma MBSA. - Foto Zunnur Al Shafiq

Namun, apabila sudah mempunyai pertalian dengan orang ternama, isu nama dibayangi insan lain pasti menjadi perdebatan. Tidak cukup itu, pasti ada mulut nakal yang pantas membuat perbandingan hingga tanpa disedari memberi tekanan kepada si empunya diri.

Bertanya perkara itu kepada Ernie yang berganding dengan teman seangkatan, Syamel merebut trofi Duo Star, Ernie pantas menafikan perkara itu. Sebaliknya, gadis manis ini selesa bergerak sendiri atas bimbingan bapa dan ibu saudara kesayangan iaitu Anuar dan Ziana.


ERNIE memiliki pertalian darah dengan penyanyi dua beradik, Ziana dan Anuar Zain. - Foto Halimaton Saadiah bte Sulaiman

Menemui Ernie, gadis ini sekali pandang saling tak tumpah ibu saudaranya, Ziana yang digelarnya Mak Long.

Artis naungan FMC Music yang popular dengan lagu Jangan Marah ini bagaimanapun mengaku lebih rapat dengan Anuar yang digelarnya Pak Ngah berbanding Ziana.

"Mak Long lebih baik dengan mama saya. Mak Long perangainya memang seperti kita tahu, sangat happy go lucky dan 'gila-gila'... Pendek kata, macam 'mak-mak'.

"Saya pula lebih akrab dengan Anuar kerana kebetulan kami belum berkahwin. Selalunya, ada masa saya dan Pak Ngah melepak sambil minum kopi... Selalulah kami lepak bersama.

"Cuma apabila Pak Ngah sibuk seperti sedang menyiapkan album, masa untuk bersama itu tiada," katanya.

Jaga hubungan dengan wartawan

Ernie atau nama sebenarnya, Nur Ernie Shahirah Zakri memberitahu, Anuar tidak lokek berkongsi ilmu dan memberi nasihat mengenai industri hiburan.

"Kami banyak berbual mengenai pelbagai perkara yang terlintas di fikiran selain hal-ehwal dunia seni.

"Ramai orang tahu perilaku Pak Long yang baik dan sopan. Disebabkan itulah, dia selalu tekankan bagaimana hendak berkelakuan sewajarnya dengan orang lain termasuk peminat. Saya sangat memandang tinggi perkara ini.

"Tak kira siapapun peminat kita, Pak Ngah selalu ingatkan supaya sentiasa menghargai jasa mereka. Itulah yang saya kena dan pegang sampai sekarang," katanya.

Berbicara mengenai Ziana pula, Mak Longnya itu mempunyai pendekatan yang cenderung kepada ibu dan kakak.

"Selalu Mak Long akan pesan jaga diri. Dengan nada dan celoteh dia bercakap saya akan tersenyum. Itulah Mak Long yang saya dan anda kenali.

"Mak Long selalu cakap bukan senang nak membuktikan bakat dalam industri. Semuanya bukan dengan jalan mudah. Mak Long jugalah yang akan pesan makan minum dijaga selain kesihatan," katanya.

Ziana juga berpesan supaya hubungan dengan wartawan perlu baik.

"Perkara yang Mak Long leter inilah yang perlu saya tahu. Saya masih baharu dan pengalaman Mak Long amat berharga untuk dikongsi. Pendek kata saya bertuah kerana ada Mak Long dan Pak Ngah yang beri nasihat selok belok dunia hiburan

"Mak Long juga selalu hubungi emak dan berpesan itu ini kepada saya," katanya.

Ernia berkata, setiap kali tibanya Syawal, mereka sekeluarga akan berkumpul.

"Selalunya, rumah Tok Andak iaitu Pak Zain di Shah Alam akan jadi lokasi semua saudara mara dan adik beradik berkumpul. Waktu lain semuanya sibuk dengan kerja hingga tak sempat nak bersua," katanya.

Lancar single dengan Syamel

Tahun 2017 menyaksikan permulaan yang baik buat Ernie kerana menjadi juara Duo Star bersama Syamel. Hampir lapan tahun berkecimpung dalam industri, Ernie mengaku laluannya bukan mudah.

"Tahun ini, genap lapan tahun saya menjadi anak seni. Saya percaya rezeki itu ada di mana-mana. Lambat atau cepat bukan kuasa kita.

"Jika diikutkan, saya memang sudah lama dalam industri seni. Tempoh ini sudah dikira matang. Memang momentun seni saya perlahan kerana saya melalui banyak perkara," katanya.

"Ernie mengaku dalam tempoh sama, dia masih belajar vokal dan melatih individu yang mahu mendalami bakat nyanyian. Cuma pada akhir tahun lalu, penyertaan saya dalam Duo Star membangkitkan semula perjalanan seni. Sebelum itu, single Jangan Marah juga diterima ramai," katanya yang baharu memiliki satu album penuh berjudul Sinaran.

Dalam perkembangan lain, Ernie dan Syamel akan melancarkan single Aku Cinta yang dirakamkan kira kira tiga minggu lalu. Lagu itu dicipta Syamel dan mengangkat genre balada yang sudah sebati dengan jiwa masing-masing.

"Lagu ini berkisar cinta yang tak kesampaian, namun perasaan itu akan hadir sampai bila-bila. Edry Abdul Halim bertindak sebagai penerbit," katanya yang masih berbaki dua tahun kontrak bersama FMC Music.

Biodata

Nama penuh : Nur Ernie Shahirah Zakri

Nama komersial : Ernie Zakri

Umur : 24 tahun

Asal : Kuala Lumpur

Lagu : Mencari Diriku (2011), Tersalah Sangka (2011), Sedetik Cinta (2014), Takkan Cinta (2015), Itu Yang Ku Mahu (2015), Jangan Marah (2016)

Anugerah : Juara Bintang RTM 2009

9490 dibaca
ERNIE. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
ERNIE hampir lapan tahun berkecimpung dalam industri. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
NUR Ernie Shahirah Zakri atau dikenali Ernie Zakri. - Foto Halimaton Saadiah bte Sulaiman
Berita Harian X