Isnin, 6 Februari 2017 | 4:52pm

Pembangkang terdesak main isu biasiswa - MB


MENTERI Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berucap pada Majlis Jamuan Muafakat dan Kunjungan Muhibah Menteri Besar Johor Sempena Perayaan Tahun Baru Cina MCA Johor di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim. - Foto Adi Safri

TANGKAK: Parti pembangkang disifatkan sebagai populis kerana hanya memainkan isu biasiswa bagi menarik perhatian rakyat di Johor untuk menyokong mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata ini mungkin disebabkan pembangkang terdesak untuk menggunakan isu terbabit bagi mencari undi menjelang pilihan raya umum akan datang.

"Kita bukan timbang satu perkara sahaja dalam soal seperti biasiswa ini kerana kita melihat semua perkara secara menyeluruh dan kemudiannya diseimbangkan. Kalau kita fikir hanya soal biasiswa, tak ada duit pula untuk rumah mampu milik dan sebagainya.

"Pada masa sama, harus diingat, siapa yang dapat kelas pertama, kita akan tukarkan (pinjaman) kepada biasiswa di Johor. Sebab kita hendak orang yang dapat pinjaman kita, dia betul-betul berusaha dan kita akan bagi kepada orang yang betul-betul layak mendapatkannya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan rasmi ke daerah Tangkak dan menghadiri Majlis Jamuan Muafakat Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina MCA Johor 2017 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Salahuddin Ayub, dilaporkan berkata parti itu bersama Pakatan Harapan akan merangka pelan induk pendidikan yang lengkap bagi meningkatkan keupayaan Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) supaya dapat memberi lebih banyak biasiswa kepada anak Johor. 

Salahuddin mendakwa ini kerana pihaknya menerima banyak maklumat dari ibu bapa mengenai kesukaran mendapatkan bantuan pelajaran dari YPJ akhir-akhir ini.

Mohamed Khaled berkata, selain pinjaman pendidikan, kerajaan negeri turut menyediakan biasiswa dan bantuan pendidikan lain demi manfaat rakyat negeri itu.

"Kita juga ada biasiswa dari tingkatan satu iaitu Biasiswa Datuk Onn. Kita juga ada biasiswa untuk graduan yang mengikuti pengajian luar kampus. Ijazah (sarjana muda) sahaja kita tidak ada sebab sudah ada banyak di peringkat kebangsaan.

"Kalau kita nak bagi semua biasiswa, kita tak ada duit untuk buat benda lain. Kita hanya bagi mereka yang layak," katanya.

160 dibaca
Berita Harian X