Selasa, 31 Januari 2017 | 8:03pm

Bernhardt umum 18 pemain ke Ho Chi Minh


FRANK Bernhardt.

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad Bawah 22 (B-22) kebangsaan, Frank Bernhardt menyenaraikan 18 pemain yang akan dibawa ke Vietnam, Ahad ini, menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu Vietnam B-22, pada 7 Februari ini.

Dua penjaga gol yang disenarai, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (Kelantan) dan Amierul Hakimi Awang (Terengganu); manakala pertahanan dibarisi R Dinesh, Matthew Thomas Davies (Pahang); Muhammad Syahmi Safari (Selangor); Muhammad Aqil Irfanuddin Mohd Sabri (T-Team); Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak (JDT II); Mohd Adib Zainuddin (Felcra FC); Muhammad Syazwan Zaipol Bahari (PKNP FC).

Barisan tengah pula menampilkan Muhammad Danial Ashraf Abdullah (Kelantan); Muhammad Zarulizwan Mazlan (T-Team); Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri (Perak); Muhammad Irfan Zakaria (Kuala Lumpur) dan Nur Shamie Iszuan Amin (Sarawak).

Dua penyerang Pulau Pinang, Muhd Jafri Muhammad Firdaus Chew dan S Kumaahran disertai Adam Nor Azlin (Selangor) serta Muhamad Arif Mohamed Anwar (Kuala Lumpur) untuk memperkuat barisan depan.

"Saya berpuas hati dengan persembahan pemain yang sudah mempamerkan tahap kecergasan yang jauh lebih baik berbanding kem latihan pusat pada bulan Disember tahun lalu bagi perlawanan menentang Filipina B-22.

"Saya juga berharap pasukan kita akan bermain dengan corak permainan pantas serta mencipta dan menyudahkan banyak peluang seperti yang diterapkan dalam latihan pada aksi menentang Vietnam B-22 di Stadium Thong Nhat, Ho Chi Minh nanti," kata Bernhardt.

Sementara itu, enam pemain - Muhammad Haziq Nadzli (JDT), K Kannan (Selangor); Tommy Mawat Anak Bada (Sarawak); Muhammad Shahrul Hakim Rahim (Kelantan); Mohamed Syamer Kutty Abba (Pulau Pinang) dan N Thanabalan (Felcra FC) diletakkan dalam senarai bersedia jika mana-mana dalam kalangan 18 pemain di atas mengalami kecederaan.

243 dibaca
Berita Harian X