Selasa, 31 Januari 2017 | 12:20pm

Skandal BMF: Kit Siang dicabar nyata pendirian


KETUA Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang. - Foto Ramdzan Masiam

PETALING JAYA: Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang diminta menyatakan pendiriannya dalam skandal kewangan Bumiputra Malaysia Finance (BMF) yang mempunyai kaitan secara langsung dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, berkata ketika skandal itu berbangkit, pendirian Kit Siang amat konsisten dan pernah menggelar Dr Mahathir yang kini sekutu kuatnya sebagai penyangak.

"Kit Siang terpaksa berlembut dengan Dr Mahathir walaupun pernah menggelar pemimpin itu penyangak.

"Namun Kit Siang sehingga kini masih berdiam diri dalam skandal BMF yang ada kena mengena dengan Dr Mahathir.

"Justeru, saya minta Kit Siang nyatakan pendiriannya mengenai skandal yang dikaitkan dengan pentadbiran Dr Mahathir selama 22 tahun, demi ketelusan dan akauntabiliti yang diperjuangkannya selama ini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Tunku Aziz hairan mengapa sehingga hari ini Kit Siang tidak bersuara dalam isu berkenaan sedangkan beliau antara pemimpin paling lantang menuntut supaya Dr Mahathir disiasat berhubung skandal BMF.

97 dibaca
Berita Harian X