Selasa, 31 Januari 2017 | 6:44am

Bahaya jika tak berpijak di bumi nyata


AHLI perlu berganding bahu dan berdiri teguh di belakang pucuk pimpinan UMNO bagi membantu parti itu untuk menolak fitnah daripada pembangkang. - Foto Asyraf Hamzah

PADA hari ini, setiap ayat yang mudah pengertiannya boleh pula disalahertikan atau ditafsirkan secara negatif semata-mata bertujuan menjatuhkan sesuatu pihak.

Contohnya, satu kenyataan yang ikhlas untuk mengingatkan kepada parti UMNO bahawa perjuangan parti ini adalah semakin getir boleh pula diberi pengertian dan dianggap sebagai satu kenyataan hendak menjatuhkan parti itu sendiri.

Saya merujuk kepada kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan Skuad Komunikasi dan Media Pergerakan Wanita UMNO, baru-baru ini.

Ada pihak mengambil kesempatan memberi tanggapan tidak baik apabila Ahmad Zahid menyatakan bahawa Cybertroopers UMNO hanya menguasai 6.6 peratus berbanding pembangkang yang menakluki 93.4 peratus. Sedangkan kenyataan Ahmad Zahid sepatutnya diterima dengan hati yang terbuka oleh ahli UMNO.

Malangnya, apa yang berlaku ialah apabila tersebarnya viral yang mendakwa kononnya Ahmad Zahid mempunyai agenda tersendiri ketika mengeluarkan kenyataan itu.

Begitu mudahnya pihak yang terbabit membuat satu persepsi tentang seorang pemimpin UMNO yang mahu memastikan UMNO terus relevan dan memainkan peranan penting dalam senario politik negara.

Bahkan ada pihak yang tidak percaya akan angka 6.6 peratus itu kerana ia terlalu rendah, seolah-olah sudah menampakkan yang UMNO mungkin akan kecundang pada pilihan raya umum (PRU) akan datang. Pada hari ini, ramai yang menganggap jika tewas di alam siber, bermakna sukar untuk diterjemahkan kemenangan itu di dunia nyata.

Mungkin kenyataan ini mempunyai kebenarannya, jika berdasarkan pada dua keputusan PRU yang lalu. Cybertroopers pembangkang yang begitu agresif memutarbelitkan pelbagai fakta berjaya memainkan peranan untuk meningkatkan kepercayaan umum terhadap sesuatu isu yang diperjuangkan oleh pembangkang.

Maklumat pengaruhi pengundi

Maklumat yang diperoleh di hujung jari begitu mudah menguasai minda mereka apabila membuat keputusan untuk mengundi. Itulah hakikatnya dan realitinya sekarang.

Tidakkah lebih baik supaya biarlah hari ini UMNO dikejutkan dengan angka 6.6 peratus kerana masih ada masa untuk memperbaiki apa-apa kelemahan yang ada?

Bagi penulis, jumlah 6.6 peratus mahupun 66 peratus sekalipun, tidak relevan kerana apa yang lebih penting lagi ialah apakah tindak balas ahli UMNO terhadap kenyataan itu.

Dalam bola sepak, kekalahan kepada satu pasukan yang hebat boleh menjadi wake up call kepada pasukan itu untuk bangun dari tidur dan terus bangkit untuk mencipta kejayaan demi kejayaan.

Kenyataan mengenai 6.6 peratus ini sepatutnya dipandang sebagai jeritan daripada Ahmad Zahid yang sebenarnya mahu supaya ahli UMNO berganding bahu dan berdiri teguh di belakang pucuk pimpinan UMNO dan sama-sama membantu parti itu untuk menolak segala fitnah dan kata-kata pembangkang yang ingin menjatuhkan UMNO.

Situasi perang siber

Ahmad Zahid begitu berani dan lantang apabila menyuarakan bahawa: "Kita tidak boleh lagi berada di kepompong lama. Kita hampir kecundang pada PRU-12 dan PRU-13 lalu kerana gagal tangani persepsi serta menguasai media dalam talian. Kita mesti ubah. Persepsi harus diubah, persepsi terhadap kita terlalu negatif...Persepsi rakyat harus diubah kepada UMNO-BN."

Sementara itu, ada juga pihak lain yang beranggapan dalam hal ini, Ahmad Zahid mengambil risiko, seolah-olah mendedahkan kelemahan UMNO dalam peperangan siber.

Sebenarnya itulah yang terjadi pada hari ini. Jika ahli UMNO biasa yang menyuarakan kebimbangan itu, impaknya pasti tidak sama dengan apa yang dilaungkan oleh pemimpin UMNO seperti Zahid Hamidi.

Teguran atau kenyataan Ahmad Zahid ini pastinya akan mengundang pelbagai pandangan, sama ada yang bersetuju ataupun yang membangkang apa yang dikatakannya.

Namun, apa yang pasti, kenyataan ini diharapkan dapat menyedarkan ahli UMNO bahawa mereka perlu menambahkan lagi usaha dan bersama-sama dengan barisan kepimpinan UMNO untuk menghadapi PRU dengan lebih yakin.

Ahli UMNO perlu menganggap apa yang dikatakan oleh Ahmad Zahid ini sebagai satu cabaran untuk mereka kerana beliau mahukan semua ahli UMNO supaya tidak terlalu bergantung kepada media konvensional, tetapi menggunakan media baharu untuk menerangkan agenda kerajaan bagi memantapkan kepercayaan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

34 dibaca
Berita Harian X