Isnin, 30 Januari 2017 | 6:15pm

Bukan kanser usus, Wafa kesal berita tak benar disebar


PELAKON popular era 1990-an, Wafa Abdul Kadir.

KUALA LUMPUR: Pelakon popular era 1990-an, Wafa Abdul Kadir, 51, menegaskan khabar angin mengenai keadaannya yang kritikal sehingga ditempatkan di Unit Rawatan rapi (ICU) akibat kanser usus adalah tidak benar.

Wafa berkata, khabar angin itu memberi impak dan kegelisahan buat keluarga serta teman rapatnya berikutan beliau bukan didiagnos barah usus, sebaliknya menghidap kanser peritoneal.

"Saya faham niat semua baik, tetapi janganlah sebarkan cerita saya kritikal di ICU. Kasihanilah keluarga saya, yang tidak tahu hal sebenar, tiba-tiba terkejut dengan berita ini.

"Saya juga bukan menghidap kanser usus, tetapi kanser peritoneal yang juga susulan daripada diagnosis pertama, iaitu kanser ovari," katanya yang menghubungi BH Online sebentar tadi.

Menurut Wafa, pada April 2015, dirinya disahkan menghidap kanser ovari tahap empat dan ekoran itu, beliau terpaksa membuang keseluruhan organ wanita iaitu ovari, tiub fallopio, rahim dan ormentum (lapisan yang menutup bahagian perut).

Selepas pembedahan itu, Wafa kembali sihat, namun pada awal 2016, beliau berdepan pula dengan kanser peritoneal. Pelakon ini juga sudah pun menjalani 18 kali rawatan kemoterapi.

"Selepas menjalani kimoterapi, ia mengambil sedikit masa untuk menghilangkan ubat daripada rawatan itu daripada badan. Rasanya amat sakit, tetapi saya cuba kuat diri untuk melawan.

"Baru-baru ini, selepas menjalani beberapa ujian, kanser itu merebak ke bahagian bawah abdomen sehingga membuatkan saya tidak boleh duduk atau berjalan lama. Doktor bimbang kerana kanser yang saya alami ini sangat kuat dan ia mungkin akan mengganggu organ lain," jelasnya.

Sementara itu, Wafa berkata, beliau reda dengan ujian yang dilalui dan menerimanya dengan hati terbuka. Cuma wanita ini berharap, doa agar kesakitannya dikurangkan dapat dimakbulkan Tuhan.

"Sakitnya Allah saja yang tahu, dan saya berdoa dan mengharapkan agar kesakitan ini dapat dikurangkan.

"Sekarang ini, hendak bernafas pun rasa sakit. Mungkin saya kuat untuk melawan penyakit ini, tetapi saya harap jika ada yang datang melawat, tolonglah jangan menangis di hadapan saya. Ini hadiah daripada Allah buat saya.

"Selain itu sistem imun (kekebalan) badan saya juga semakin rendah. Jika ada orang yang bersin atau batuk, saya akan terkena sama," tuturnya.

Berita mengatakan Wafa tidak sihat mula timbul selepas beberapa rakan selebriti memuat naik status mendoakan kesihatannya, beberapa hari lalu.

Pada tahun 2014, Wafa pernah menjalani pembedahan bagi membetulkan tulang leher kesan daripada kemalangan dialaminya dua tahun sebelum itu.

Wafa yang dikenali menerusi filem seperti Azizah The Legend dan drama Gerak Khas ialah isteri kepada jurutera, Tajul Faizal Tamimuddin, 51.

774 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »