Khamis, 26 Januari 2017 | 5:08pm

Kit Siang, Mukhriz dicabar lagi


DARI kiri; Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, Lim Kit Siang dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, dicabar sekali lagi supaya membuat akuan bersumpah menafikan mereka akan jadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).

Desakan itu dibuat Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berikutan pendedahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Kit Siang memang ada menyatakan hasrat untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Katanya, Kit Siang kini seperti cacing kepanasan akibat pendedahan terbaru Dr Mahathir bahawa memang pemimpin de facto DAP yang juga Ketua Ahli Parlimen DAP itu mahukan jawatan berkenaan.

Katanya, Kit Siang kini cuba mengalih isu bahawa tidak salah jika beliau mahu menjadi Timbalan Perdana Menteri kerana perkara itu tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Sedangkan isu yang dipersoalkan kini adalah mengenai wujudnya pakatan sulit yang membuktikan Dr Mahathir dan Kit Siang cuba menikam belakang rakan mereka dalam Pakatan Rakyat yang lain, khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Puad, yang juga Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) berkata, Kit Siang kini jelas berkelakuan sama seperti Dr Mahathir yang sanggup menjilat balik musuh lama demi mencapai cita-cita politik sendiri.

"Dr Mahathir sanggup jilat musuh lama bagi membolehkan Mukhriz menjadi Perdana Menteri, manakala Kit Siang pula sanggup menjilat musuh ketatnya seperti PAS, MCA dan Gerakan semata mata untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan," katanya.

Sebelum ini, bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim turut mencabar Kit Siang membuat akuan bersumpah bagi menyatakan secara sahih akan menolak jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan jika menang PRU akan datang.

661 dibaca
Berita Harian X