Khamis, 26 Januari 2017 | 12:59am

Pejabat Presiden Geun-hye bakal digeledah


PARK Geun-hye.

SEOUL: Pendakwa raya Korea Selatan berkata, mereka bercadang menyoal Presiden Park Geun-hye dan menggeledah pejabatnya awal bulan depan berkaitan skandal rasuah besar-besaran membabitkan rakan karibnya, Choi Soon-sil.

Dalam satu insiden luar biasa, Soon-sil menjerit ke arah media ketika dibawa ke pejabat pendakwa raya untuk disoal.

Soon-sil menggelar siasatan itu tidak adil dan mendakwa dipaksa membuat pengakuan tidak benar berkaitan hubungannya dengan Geun-hye.

"Mereka bukan lagi pendakwa raya khas demokratik, mereka memaksa saya membuat pengakuan. Saya diperangkap," jerit Soon-sil ketika pengawal membawanya ke dalam bangunan.

Jurucakap pasukan pendakwa raya khas, Lee Kyu-chul, menafikan tuduhan Soon-sil.

Katanya, penyiasat mahu menyegerakan soal siasat Geun-hye dan menggeledah pejabatnya menjelang awal Februari ini.

Geun-hye, yang digugurkan kuasa namun belum dilucutkan jawatan, tidak boleh dipaksa memberi keterangan di Mahkamah Perlembagaan yang mengadakan perbicaraannya.

Namun, Presiden Korea Selatan itu berkata, beliau bersedia disoal pendakwa raya khas yang menyiasat skandal meluas itu.

Namun, tidak jelas sama ada Rumah Biru Presiden membenarkan penggeledahan dijalankan. - AP

137 dibaca
Berita Harian X