Rabu, 25 Januari 2017 | 4:15pm

Tun M perlu jawab pendedahan CIA dalam skandal BMF - Veteran UMNO

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad perlu menjawab dan memberi penjelasan kepada seluruh rakyat Malaysia berhubung skandal membabitkan Bumiputera Malaysia Finance (BMF) sekitar tahun 1980-an, susulan pendedahan dokumen milik Agensi Perisikan Pusat (CIA).

Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub, berkata keghairahan bekas Perdana Menteri itu menyerang Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan, khususnya dalam isu 1MDB akhirnya mendorong CIA membuka fail lama skandal BMF.

"Apabila isu BMF dibuka semula oleh CIA, siapakah yang akan menafikannya? Apakah salah Najib lagi? Apakah setiap yang berlaku itu maka Najib yang mesti bertanggungjawab walaupun ianya berlaku pada zaman kepimpinan yang terdahulu?

"Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ketika skandal itu berlaku pasti tahu cerita sebenarnya. Beliau ketika itu bernasib baik kerana tidak ada media sosial yang boleh memanjangkan skandal itu dan berakhir dengan penutupan kes berkenaan walaupun banyak pihak yang tidak berpuas hati.

"Oleh kerana nama beliau disebut oleh CIA, maka Tun M perlu menjawabnya. Jangan pula dengan pendedahan CIA ini maka Najib pula yang akan menjadi sasaran pembangkang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mustapha berkata, pendedahan dokumen CIA itu sepatutnya menjadi renungan kepada Dr Mahathir yang kini berjawatan Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk sedar bahawa ketika beliau menjadi Perdana Menteri, beliau turut melakukan banyak kesilapan.

Katanya, atas dasar kesetiaan dan taat kepada pemimpin, maka parti serta ahli UMNO ketika itu tetap menyokong beliau walaupun turut dipalit skandal berbilion ringgit.

"Tun Mahathir kuat bukan kerana beliau ketika itu Perdana Menteri, tetapi kerana jutaan ahli UMNO dan rakyat menyokong beliau di belakang," katanya.

144 dibaca
Berita Harian X