Isnin, 23 Januari 2017 | 10:26am
PRESIDEN Samsung, Koh Dong-jin. - Foto REUTERS

Samsung sahkan bateri punca Note 7 meletup

SEOUL: Samsung hari ini mendedahkan masalah bateri rosak menjadi punca utama telefon pintar Galaxy Note 7 terbakar.

"Hasil siasatan dalaman oleh penyiasat bebas mendapati bateri adalah punca insiden Note 7 (terbakar)," kata syarikat Korea Selatan itu dalam satu kenyataan.

Konglomerat teknologi itu terpaksa menghentikan pengeluaran telefon bimbit model itu, selepas beberapa siri kebakaran, termasuk membabitkan telefon yang baharu diganti.

Pengeluaran telefon itu bertujuan menyaingi pasaran iPhone, keluaran syarikat Apple.

Masalah itu bukan sahaja menjejaskan reputasi Samsung, bahkan menyebabkan mereka terpaksa menanggung kerugian berbilion ringgit.

"Kami bertanggungjawab terhadap kegagalan mengesan isu membabitkan rekaan bateri dan pengeluarannya.

"Beberapa langkah sewajarnya sudah diambil untuk mengelakkannya daripada berulang lagi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Samsung mengumumkan langkah menarik balik 2.5 juta unit Galaxy Note 7 pada September tahun lalu, selepas beberapa unit telefon itu meletup atau terbakar.- AFP

440 dibaca
Berita Harian X