Rabu, 17 Disember 2014 | 7:33am
KESUCIAN agama Islam termaktub dalam Perlembagaan. - Foto hiasan

Fatwa kalimah patut dipatuhi, bukan jadi polemik politik

Kenyataan provokasi Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkaitan penggunaan kalimah Allah bukanlah yang pertama dibuatnya. Mutakhir ini beliau memberikan persetujuannya terhadap penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam di Pulau Pinang seolah-olah bidang kuasa untuk kebenaran penggunaan kalimah Allah itu berada dalam ruang sempadan seorang Ketua Menteri.

Kenyataan berkenaan sebenarnya telah memberi kemenangan yang bukan kecil kepada segelintir pihak yang sentiasa cuba menghakis apa sahaja yang dimiliki oleh orang Islam dalam negara kita.

Apa yang jelas pihak yang mencetuskan polemik ini sudah semestinya sedang meraikan kegembiraan kerana atas isu yang begitu fundamental terhadap umat Islam ini pun orang Melayu masih gagal meletakkan kepentingan agama Islam mendahului kepentingan picisan yang lain.

Apabila orang Islam sudah tidak berkeupayaan bersepakat dalam isu yang sebegitu penting, malahan ada pula yang membuka pintu bagi pencerobohan itu, maka kerja-kerja merempuh had agama Islam akan menjadi kian mudah dan terancang.

Ramai yang tidak menyedari bahawa tuntutan penggunaan Kalimah Allah yang dibuat kebelakangan ini bukan hanya terhenti setakat penggunaan kalimah itu. Ia adalah usaha permulaan dan tersusun bagi menyamaratakan agama dalam negara kita. Soalnya adakah penggunaan kalimah Allah ini boleh diputuskan oleh Ketua Eksekutif Negeri tanpa perlu mendapat izin Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam Negeri-negeri dalam negara kita.

Tiada siapa pun boleh menafikan bahawa dalam sejarah pembinaan negara kita sejak sebelum kedatangan penjajah lagi, kalimah Allah adalah jelas merujuk kepada tuhan yang Esa bagi orang Islam. Pelbagai simbol kebesaran negeri-negeri dan institusi kerajaan negeri hingga kini menggunakan moto yang dikaitkan dengan nama Allah seperti "Kepada Allah Berserah" sebagai manifestasi bahawa inilah tuhan bagi agama Islam, agama kepada persekutuan menurut Perlembagaan Persekutuan dan agama kepada negeri menurut Undang-Undang Tubuh Negeri.

Rapatnya hubungan antara kalimah Allah dan Institusi Kesultanan terus sahaja dapat dilihat hinggakan apabila Duli-Duli Tuanku ini dilantik sebagai yang di Pertuan Agong, Sultan atau Raja maka mereka juga angkat melafazkan sumpah syarie di atas nama Allah bagi membuktikan bahawa menjadi antara tugas baginda Tuanku untuk menjaga ketinggian martabat agama Islam.

Maka tidak dapat tidak, kalimah Allah berada di bawah bidang kuasa Raja-Raja Melayu. Tidak ada satu negeri pun di negara kita di mana agama Islam tidak dinaungi oleh sama ada Sultan ataupun Yang di-Pertuan Agong.

Punca kuasa bagi hal ehwal agama Islam

Selari dengan martabatnya sebagai agama persekutuan dalam Artikel 3 (1) Perlembagaan, maka terdapat sedikit kemuliaan kepada agama Islam dalam beberapa aspek mengatasi agama lain. Punca kuasa terhadap pentadbiran hal ehwal Agama Islam di negeri-negeri boleh dilihat dengan perakuan yang dibuat dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Undang-Undang Tubuh Negeri bagi negeri-negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak hendaklah memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah dilantik sebagai Ketua Agama Islam negeri tersebut.

Jadual Kelapan, Perlembagaan Persekutuan seterusnya memperkukuhkan status kepentingan 'Perlembagaan Negeri' ini dengan menyatakan perkara-perkara yang perlu ada dalam Undang-Undang Tubuh sesebuah negeri berkenaan.

Dalam kes Pulau Pinang yang mana Ketua Eksekutifnya adalah seorang yang bukan beragama Islam, rujukan terhadap kuasa-kuasa pentadbiran Agama Islam telah dimaktubkan dengan begitu jelas dalam Undang-undang Tubuh Negeri Pulau Pinang.

Perkara 5 Undang-Undang Tubuh Negeri Pulau Pinang menyatakan bahawa Islam adalah Agama Negeri bagi Pulau Pinang sungguhpun ia diketuai oleh seorang Ketua Menteri yang bukan beragama Islam. Peruntukan tersebut juga menggariskan bahawa Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang hendaklah ditubuhkan bagi menasihatkan Yang di-Pertuan Agong dalam urusan agama Islam di negeri itu.

Melihat akan keperluan suatu fatwa dikeluarkan bagi memberikan pencerahan terhadap tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam di Pulau Pinang, Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 7 Januari 2010 bersetuju dengan fatwa dikeluarkan oleh Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan pada 5 Mei 2008 yang memutuskan bahawa kalimah Allah hendaklah hanya digunakan secara eksklusif untuk umat Islam di negeri itu.

Fatwa Pulau Pinang ini telah diwartakan pada 1 April 2010 dan sudah tentunya berkuat kuasa sebagai satu undang-undang dalam negeri itu. Perenggan 5 dalam fatwa berkenaan turut menyatakan bahawa mana-mana orang bukan Islam yang menerbit dan menggunakan beberapa kalimah yang antaranya adalah kalimah Allah adalah dikategorikan sebagai menghina kesucian agama Islam, dilarang dan menjadi suatu kesalahan.

Ketua Menteri cabar undang-undang

Ironinya, seorang Ketua Menteri dalam negeri yang mewartakan fatwa itu dengan terang dan nyata mencabar suatu undang-undang yang diwartakan oleh prosedur negerinya sendiri.

Sudah tentulah institusi mufti di Pulau Pinang sebagai pemegang amanah terhadap kesucian agama Islam sebagai agama negeri bagi negeri berkenaan perlu mempertahankan fatwa itu memandangkan institusi mufti adalah pihak yang bertanggungjawab menasihatkan Yang di-Pertuan Agong akan urusan agama Islam dalam negeri itu.

Institusi mufti ini didukung oleh sebuah institusi yang dirujuk sebagai Majlis Agama Islam Pulau Pinang yang bertanggungjawab menyediakan polisi terhadap perundangan Islam di negeri itu. Tidak seperti badan penguatkuasa lain seperti majlis tempatan atau majlis-majlis daerah yang hanya melaksanakan kuasa berdasarkan akta dan perundangan yang berkuat kuasa, Majlis Agama Islam Negeri-Negeri adalah Pihak Berkuasa Agama Islam yang utama di sesebuah negeri yang mana Sultan atau Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan bagi diperturunkan kuasa kepada Majlis Agama Islam Negeri-Negeri untuk membuat segala dasar berkaitan ketinggian dan kesucian agama Islam bagi sesebuah negeri.

Bagi memastikan urus tadbir Majlis Agama Islam Negeri adalah mematuhi hukum syara' sebelum ia dikuatkuasakan, maka pandangan dan fatwa dari Jawatankuasa Fatwa Negeri diperoleh terlebih dahulu bagi memastikan setiap tindakan Majlis Agama Islam Negeri adalah berlandaskan kepada kehendak agama Islam.

Kebebasan untuk orang bukan Islam mengamalkan ajaran agama mereka adalah tertakluk kepada batasan bahawa ia tidak melangkaui had sempadan agama Islam. Adalah pandangan yang sangat tersasar bagi menghujahkan sesuatu fatwa yang berkait terus dengan prinsip fundamental kesucian agama Islam seperti fatwa kalimah Allah itu tidak mengikat orang bukan Islam.

Ia adalah suatu perundangan yang melindungi kesucian agama Islam sesuai dengan norma dan latar sejarah negara kita yang perlu dipatuhi oleh mana-mana warga Malaysia. Analoginya mudah, peraturan yang dibuat oleh sesebuah universiti kepada ahli-ahlinya akan mengikat mana-mana pekerja dan pelajarnya sahaja, tetapi jika kita memasuki sesuatu universiti itu, sudah tentulah kita perlu mematuhi dan menghormati peraturannya dan tidak boleh sewenang-wenangnya melanggar peraturan yang ditetapkan hanya kerana kita orang awam.

Jika hujahan bahawa fatwa kalimah Allah itu tidak mengikat orang bukan Islam diterima, maka kita akan meletakkan institusi mufti dan fatwa berada di bawah kuasa telunjuk eksekutif negeri dan apakah signifikannya lagi agama Islam diangkat sebagai agama Persekutuan sedangkan fatwa itu telah dibuat berdasarkan punca kuasanya yang sah dan diperakui Perlembagaan Persekutuan.

Seperti kita perlu menjaga ruang udara kita daripada diceroboh oleh pesawat negara asing begitulah juga kita perlu menutup segala ruang bagi pelanggaran terhadap fatwa oleh mana-mana pihak, apatah lagi ia memberikan implikasi halangan kepada pelaksanaan sesuatu fatwa.

Perlanggaran tersebut jelas adalah suatu tindakan yang tidak boleh dibenarkan kerana ia jelas bertentangan dengan letak duduk agama Islam sebagai agama Persekutuan dalam negara kita. Malah kuasa negeri khususnya institusi mufti dalam mengeluarkan fatwa bagi penggunaan kalimah Allah ini juga telah diperakui dalam penghakiman Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan dalam kes tuntutan penggunaan kalimah Allah dalam terbitan majalah Herald baru-baru ini.

Gerakan oleh pelbagai pihak yang membuat tuntutan bagi penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam ini tidak hanya terhenti setakat itu. Menyedari bahawa institusi Raja dan Mahkamah Syariah boleh menjadi penghalang terhadap penghakisan hak-hak eksklusif umat Islam, tuntutan penggunaan kalimah Allah dituruti pula dengan tuntutan pihak-pihak ini agar Mahkamah Sivil diberikan kuasa mutlak untuk membicarakan soal-soal berkaitan keluar masuk agama Islam dan seterusnya meminggirkan lagi kuasa-kuasa Mahkamah Syariah.

Tegasnya, keputusan mana-mana pihak selain Yang di-Pertuan Agong dan Sultan bagi memberi izin kepada kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam dalam negara kita akan membawa implikasi bahawa pihak berkenaan telah membuat keputusan ultra vires yang melangkaui bidang kuasa mereka kerana ia melanggar peruntukan undang-undang tubuh negeri dan enakmen-enakmen berkaitan yang diwartakan di setiap negeri.

Implikasi kalimah Allah dibenar kepada bukan Islam

Jika penggunaan kalimah Allah dibenarkan juga digunakan oleh bukan Islam, maka ia memberikan implikasi yang bukan sedikit. Institusi Raja-Raja Melayu tidak lagi berkuasa untuk menjaga ketinggian agama Islam dan enakmen-enakmen berkaitan pengawalan agama Islam yang telah diwartakan di negeri-negeri boleh sahaja dianggap terbatal dan tidak lagi berkuat kuasa.

Takkanlah sampai begitu sekali lemahnya umat Islam di Malaysia hari ini. Adalah tidak munasabah untuk kita meminda pelbagai enakmen yang menjaga kesucian agama Islam dan mengubah

landskap perundangan negara hanya semata-mata kerana menuruti kehendak segelintir golongan tertentu yang sentiasa sahaja mewujudkan polemik untuk menggegar keharmonian kita selama ini.

Mungkin kita boleh bersetuju bagi institusi agama Islam seperti mufti dan Majlis Agama Islam Negeri diletakkan di bawah tadbir urus dan interpretasi bebas Ketua Menteri Pulau Pinang itu, tetapi sebagai balasan Yang di-Pertua Negeri dan institusi mufti juga hendaklah diberikan kuasa eksekutif untuk mentadbir urus negeri Pulau Pinang keseluruhannya. Mungkinkah Yang Amat Berhormat Ketua Menteri boleh bersetuju?

Penulis ialah pengamal undang-undang sivil dan syariah

339 dibaca
Berita Harian X