Rabu, 18 Januari 2017 | 12:21pm
Pengarah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som. - Foto NSTP/Edmund SamuntingEDMUND SAMUNTING

3 hilang bot karam di perairan Sabah


LOKASI bot karam, kira-kira 17 batu nautika Barat Laut perairan Pulau Mantanani, Kota Belud.

KOTA KINABALU: Tiga hilang manakala lima terselamat selepas bot jenis kumpit dinaiki mereka karam, kira-kira 17 batu nautika Barat Laut perairan Pulau Mantanani, Kota Belud.

Ketika kejadian kira-kira jam 3 petang semalam, semua mangsa dalam perjalanan dari Labuan ke Filipina dengan membawa sejumlah muatan beras dan gula.

Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada Pusat Operasi Daerah Maritim Labuan (PUSOP DM14) jam 8.35 pagi tadi.

"Seramai lapan kru berada dalam bot terbabit dengan lima daripadanya berjaya diselamatkan bot nelayan berhampiran dan telah dibawa balik ke Labuan.

"Bagaimanapun, tiga lagi dilaporkan hilang dan usaha mencari mereka oleh rakan mangsa tidak berhasil," katanya di sini, sebentar tadi.

Setakat ini, identiti tiga mangsa yang hilang sedang dikenal pasti. 

Mohd Zubil berkata, sejurus menerima maklumat berhubung kejadian itu, pihaknya mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 9.15 pagi tadi menggunakan Kapal Maritim (KM) Memmon.

"Berikutan kejadian ini, saya sekali lagi ingin mengingatkan komuniti maritim supaya memaklumkan kepada pihak berkuasa secepat mungkin jika berlaku kemalangan atau kecemasan di laut supaya tindakan segera dapat diselaraskan.

"Ini juga bagi mengelak operasi SAR menjadi sukar kerana mangsa dikhuatiri telah hanyut jauh dari lokasi kejadian," katanya sambil menambah operasi turut mendapat bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Pasukan Polis Marin (PPM), selain bantuan pesawat udara.

176 dibaca
Berita Harian X