Rabu, 18 Januari 2017 | 9:24am

Lelaki muat naik kenyataan jelik kepada Sultan Johor ditahan

JOHOR BAHRU: Polis Johor menahan seorang lelaki berhubung kes memuat naik kenyataan jelik terhadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar di laman Facebook (FB) di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur, malam tadi.


KETUA Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata lelaki berusia 43 tahun itu ditahan pada jam 9.45 malam oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dan dibantu Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.

Katanya, penahanan suspek adalah susulan laporan diterima pihaknya kelmarin pada jam 4.57 petang berkaitan dengan penyalahgunaan laman media sosial itu.

"Polis turut merampas sebuah telefon bimbit bersama kad Modul Pengenalan Pengguna (SIM) dipercayai digunakan suspek bagi membuat kenyataan jelik terhadap Sultan Johor.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan sekiranya disabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya selain boleh didenda selanjutnya bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sbaitan," katanya dalam kenyataan hari ini.

146 dibaca
Berita Harian X