Isnin, 16 Januari 2017 | 2:15pm

Pendakwa raya mohon waran tangkap pewaris Samsung


PEWARIS Samsung Group (Samsung), Lee Jae-yong (tengah).

SEOUL: Pejabat pendakwa raya khas Korea Selatan memohon waran tangkap ke atas pewaris Samsung Group (Samsung), Lee Jae-yong, konglomerat terbesar negara itu atas tuduhan rasuah dalam kes skandal politik membabitkan Presiden Park Geun-hye.

Jae-yong adalah anak lelaki Pengerusi Samsung, Lee Kun-hee.

Jika mahkamah bersetuju dengan permohonan itu, Jae-yong akan menjadi eksekutif kanan pertama firma elektronik gergasi terbabit ditangkap berkaitan skandal, yang turut mengaitkan rakan rapat Geun-hye, Choi Soon-sil.

Soon-sil dituduh menggunakan hubungannya dengan Geun-hye untuk memaksa firma tempatan terkenal 'menderma' hampir AS$70 juta (RM312.62 juta) kepada yayasan bukan keuntungan diasaskannya untuk digunakan sebagai mesin wang automatik dirinya.

Samsung adalah penyumbang tunggal terbesar kepada yayasan terbabit dan secara berasingan membayar jutaan euro kepada Soon-sil.

Firma elektronik itu juga didakwa membiayai latihan ekuestrian anak perempuan Soon-sil di Jerman.

Jae-yong, 48, adalah Naib Presiden Samsung Electronics dan dituduh meluluskan keputusan membayar Soon-sil sejumlah besar wang dalam cubaan memperoleh sokongan politik. - AFP

194 dibaca
Berita Harian X