Isnin, 16 Januari 2017 | 11:56am

Bateri punca utama Note 7 terbakar: sumber


SIASATAN Samsung Electronics Co Ltd (Samsung) bagi mencari punca telefon bimbit Galaxy Note 7 terbakar merumuskan, bateri menjadi penyebab utama. - Foto www.reuters.com

SEOUL: Siasatan Samsung Electronics Co Ltd (Samsung) bagi mencari punca telefon bimbit Galaxy Note 7 terbakar merumuskan, bateri menjadi penyebab utama, kata sumber yang mengetahui perkara itu hari ini.

Pembuat telefon pintar terbesar dunia itu kemungkinan mendedahkan hasil siasatan 23 Januari ini, sehari sebelum ia mengumumkan perolehan suku keempat, kata sumber.

Syarikat itu juga akan mengumumkan langkah baharu yang bakal diambil bagi mengelak berulangnya kegagalan keselamatan produk untuk peranti akan datang.

Jurucakap Samsung bagaimanapun enggan mengulas mengenai perkara itu.

Selepas satu daripada kegagalan keselamatan terbesar produk dalam sejarah teknologi, syarikat itu jelas berusaha memastikan perantinya selamat sebelum pelancaran telefon pintar Galaxy S8 dijangka suku pertama tahun ini.

Pelabur dan penganalisis berkata, adalah penting buat Samsung menyediakan penjelasan terperinci dan meyakinkan terhadap masalah dihadapi Note 7 dan bagaimana mencegahnya daripada berulang.

Sumber memberitahu Reuters, Samsung berjaya mereplikakan kebakaran ketika siasatan dan puncanya mungkin dapat dijelaskan oleh rekaan perkakasan atau isu berkaitan perisian. -Reuters

34 dibaca
Berita Harian X