Ahad, 15 Januari 2017 | 3:46pm

BR1M: Tun M hipokrit - Idris Haron


KETUA Menteri, Datuk Seri Idris Haron. - Foto Khairunisah Lokman

MELAKA: Ahli Majlis Tertinggi UMNO menyifatkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu mengekalkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) jika pembangkang menang pilihan raya umum (PRU) akan datang, sebagai hipokrit.

Datuk Seri Idris Haron, berkata kenyataan bekas Perdana Menteri itu tidak lain hanya menipu rakyat, malah tidak konsisten dengan kenyataan sebelum ini berhubung tafsirannya bahawa BR1M adalah satu bentuk rasuah.

"Tun Dr Mahathir tidak lagi konsisten dan orang sebegini bahaya, sesiapa yang dekat dengan beliau perlu lebih berhati-hati.

"Tidak konsisten itu bermakna 'kata-kata lembut' untuk seseorang yang menipu, kaki putar belit. Malu la, sekejap betul sekejap salah. Tun Dr Mahathir hipokrit," katanya.

Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka itu mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir yang memberi bayangan akan mengekalkan BR1M jika parti campuran pembangkang mengambil alih kuasa pada PRU akan datang, dalam satu majlis rasmi parti itu di Shah Alam, malam tadi.

Terdahulu, Idris merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Pangsapuri Mampu Milik (PMM) Bukit Baru, di sini, hari ini. Yang turut hadir, EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Ismail Othman; Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM), Saleh Mohd Dom, dan wakil pemaju, Pengarah Syarikat Shang Height Realty Sdn Bhd, Tee Kai Loon dan Tee Kok Siong.

Idris turut menyindir Tun Dr Mahathir berikutan sebelum ini BR1M yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu berbentuk rasuah dan menyalahi sisi undang-undang, namun bantuan itu kini mahu dikekalkan semata-mata meraih sokongan rakyat.

Sementara itu, Idris berkata, kerajaan terus komited memperkasakan sektor perumahan di negeri ini menerusi LPM dengan mensasarkan pembinaan 10,000 unit projek PMM menjelang tahun 2025.

Berita Harian X