Jumaat, 13 Januari 2017 | 12:12am

Keunikan Cendol Champion jadi tarikan

KUALA NERUS: Idea kreatif memodenkan menu cendol kepada cendol ala hipster, dengan mengubah suai kandungannya termasuk meletakkan isi nangka, biskut oreo dan pulut durian ternyata berhasil, apabila mendapat sambutan menggalakkan di kalangan masyarakat tempatan.

Cendol Champion yang beroperasi di Wakaf Tengah, Batu Rakit itu saja menjadi 'buah mulut' masyarakat setempat, malah turut menjadi antara destinasi makan pilihan pelancong luar, terutama pada musim cuti.

Pengusahanya, Norhayati Hamzah, 37, berkata beberapa selebriti tempatan seperti Elfira Loy, Sufian Suhaimi dan Chef Jo, antara yang pernah datang menikmati cendol buatannya ketika mereka datang ke Terengganu.

"Sebaik merasai Cendol Nangka, Cendol Oreo dan Pulut Durian, masing-masing terkejut dengan keenakannya dan memberitahu tidak pernah dirasainya di tempat lain. Rata-rata berpuas hati dan memujinya dengan mengatakan cendol saya memang 'Champion'.

"Malah, mereka juga berjanji akan datang ke sini lagi, sekiranya ada urusan atau penggambaran di Terengganu pada masa akan datang," katanya kepada BH.


ANTARA hidangan cendol yang menarik di Cendol Champion. - Foto Nuruljannah Anam


RUANG menarik disediakan untuk pelanggan berswafoto di Cendol Champion. - Foto Nuruljannah Anam

Kata bekas pegawai bahagian minyak dan gas di sebuah syarikat di Kuala Lumpur, beliau membuat keputusan untuk berhenti kerja pada 2014 bagi menumpukan perhatian kepada anak-anaknya.

"Namun, selepas berhenti kerja, suami memberi cadangan supaya berniaga dan memilih untuk membuka kedai cendol.

"Idea membuat menu cendol ini timbul kerana sudah banyak cendol biasa yang dijual di kedai dan di tepi jalan. Jadi, saya cuba buat kelainan dan bersyukur menu kami mendapat sambutan baik.

"Kami tetap mengekalkan rasa asal cendol, cuma kami pelbagaikan menu cendol. Jadi, pelanggan boleh mencuba kelainan cendol kami," katanya.

Enam bulan buat kajian rasa cendol

Bagi memastikan cendol yang dihasilkan berkualiti dan menepati cita rasa pelanggan, Norhayati mengambil masa enam bulan untuk membuat kajian mengenai cendol sebelum membuka Cendol Champion.


CENDOL Champion turut menyediakan menu Mi Kolok dan Laksa Sarawak. - Foto Nuruljannah Anam


ANTARA menu yang menjadi pilihan pelanggan ialah Cendol Pulut Durian dan Cendol Oreo. - Foto Nuruljannah Anam

Selain cendol, Norhayati turut menyediakan menu makanan seperti Laksa Sarawak dan Mi Kolok yang dibuat oleh tukang masak didatangkan khas dari Sarawak.

"Mi kolok dan Laksa Sarawak jarang ditemui di negeri ini. Jadi, saya membawa sedikit kelainan dengan menu makanan kami berikutan suami saya berasal dari Sarawak," katanya.

Melihat kepada sambutan yang diterima, Norhayati membuka sebuah kios Cendol Champion di kawasan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan berhasrat membuka cawangan di Kuala Lumpur dan Sarawak, pada masa depan.

Pelanggan, Tuan Mohd Hamidy Yusof, 36, mengakui Cendol Champion menawarkan pelbagai rasa unik cendol.

"Ini kali keempat saya berkunjung ke Cendol Champion untuk menikmati cendol kegemarannya iaitu Cendol Nangka.

"Menu wajib saya setiap kali ke sini ialah Cendol Nangka. Rasa nangka yang manis, sesuai menambahkan kesedapan cendol. Malah, isteri saya turut suka walaupun pertama kali mencubanya," katanya.


PELANGGAN, Tuan Mohd Hamidy Yusof, 36. - Foto Nuruljannah Anam

Tuan Mohd Hamidy berkata, beliau biasa datang dengan rakan, tetapi kali ini membawa isteri dan anak untuk mencuba cendol di sini.

Cendol Champion bukan sahaja menarik perhatian masyarakat setempat, malah artis terkenal turut tidak melepaskan peluang berkunjung ke kedai itu.

INFO: Antara menu cendol yang ditawarkan
- Cendol Champion
- Cendol Oreo
- Cendol Nangka
- Cendol Pulut Durian

Turut disediakan:
- Mi kolok
- Laksa Sarawak

140 dibaca
Berita Harian X