Jumaat, 6 Januari 2017 | 12:04am

Mereka rancang serangan besar: TPM Turki


ANGGOTA polis mengawal lokasi pengeboman kereta di bandar Izmir, barat Turki, hari ini. - Foto AFP

ISTANBUL: Timbalan Perdana Menteri Turki, Veysi Kaynak, berkata senjata yang ditemui di lokasi kejadian pengeboman kereta di bandar Izmir, barat Turki hari ini, menunjukkan dalangnya merancang serangan lebih besar.

"Melihat kepada persiapan dan senjata, bom serta peluru yang dirampas, mereka nampaknya merancang serangan secara besar-besaran," katanya kepada wartawan dalam ulasan yang disiarkan secara langsung.

Kaynak berkata, serangan yang didakwa gabenor tempatan sebagai angkara militan Kurdis, tidak akan menghalang pembabitan tentera Turki di Syria dan Iraq.

Sementara itu, dua daripada tiga penyerang ditembak mati selepas insiden letupan bom kereta berkenaan.

Datuk Bandar Daerah, Hasan Karadag, berkata kejadian turut mengorbankan seorang pegawai polis dan seorang pekerja bangunan mahkamah sejurus letupan berlaku.

Katanya, 10 orang cedera dalam letupan itu dan seorang daripadanya parah.

Letupan berlaku berhampiran pintu masuk bangunan mahkamah yang digunakan hakim, pendakwa raya dan kakitangan lain.

Agensi berita tempatan melaporkan, polis giat menjejaki suspek ketiga yang melarikan diri. Dia dikatakan memakai kot hitam dan topi putih.

Kejadian itu menyusul serangan didakwa didalangi militan IS di sebuah kelab malam dekat Istanbul pada malam sambutan tahun baharu.

Serangan itu mengorbankan 39 nyawa.

Rabu lalu, polis menahan 20 orang di Izmir dipercayai mempunyai kaitan dengan penyerang kelab malam itu yang masih bebas.

Agensi berita Anadolu melaporkan, dua pegawai polis adalah antara yang cedera dan telah dibawa ke hospital berdekatan. - AGENSI

111 dibaca
Berita Harian X