Selasa, 3 Januari 2017 | 6:37am

Mourinho salahkan jadual lagi ketika atasi West Ham


JOSE Mourinho. - Foto Reuters

LONDON: Pengurus Manchester United, Jose Mourinho sekali lagi menyalahkan jadual perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang padat ketika sambutan perayaan Krismas dan Tahun Baharu selepas The Red Devils bergelut sebelum menundukkan West Ham 2-0 yang beraksi dengan 10 pemain, awal pagi tadi.

Pengurus kelahiran Portugal itu menyalahkan persembahan tidak konsisten United yang beraksi pada perlawanan kedua dalam tempoh tiga hari, dengan kunjungan ke London hanya selepas 48 jam selepas bangkit menewaskan Middlesbrough 2-1 sebelum ini.

"Ia sangat sukar untuk bermain bola sepak dalam tempoh 48 jam. Ia mengagumkan bagi peminat di seluruh dunia kerana dapat menyaksikan EPL dan saya sangat gembira dapat melakukannya tetapi ia sangat sukar buat pemain," kata Mourinho.

Pengadil Mike Dean mengarahkan pemain sayap Sofiane Feghouli keluar padang pada minit ke-15 berikutan kekasaran terhadap Phil Jones tetapi United memerlukan sehingga minit ke-63 bagi membuka jaringan menerusi Juan Mata yang menyudahkan hantaran pemain gantian, Marcus Rashford.

Zlatan Ibrahimovic pula ofsaid ketika menyumbat gol kedua dengan United, yang mencatat kemenangan ketujuh berturut-turut dalam semua kejohanan buat kali pertama sejak musim 2010/11, turut dibantu dengan ketangkasan David de Gea yang menyelamatkan tiga percubaan termasuk daripada Michail Antonio sebelum Mata menyumbat gol.

"Ia bukan sekadar sukar buat pasukan dengan 10 (pemain) tetapi juga sukar buat pasukan dengan 11 pemain. Apabila anda mempunyai lebih daripada seorang pemain, anda juga perlu berfikir. Pemain saya terlalu penat untuk memikirkannya, kami melakukan banyak keputusan yang salah," kata Mourinho.

"Apabila anda lebih segar anda dapat bermain dengan mudah, apabila anda tidak segar anda akan bermain dengan cara yang sukar. Dalam babak pertama semuanya sukar. Hanya apabila saya membawa masuk pemain yang segar, Mata dan Rashford, pasukan lebih berbeza." - Reuters

22 dibaca
Berita Harian X