Isnin, 19 Disember 2016 | 5:06pm
TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - Foto BERNAMA

Tubuh Pasukan Petugas ATIPSOM tahun depan

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju menubuhkan Pasukan Petugas Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dengan kerjasama Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), mulai tahun depan.

Keputusan bagi memperkasakan siasatan dan penguatkuasaan Akta ATIPSOM 2007 itu dibuat hari ini dalam Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi (HLC) Majlis ATIPSOM (MAPO) Bilangan 2 Tahun 2016, yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mesyuarat di Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri itu turut dihadiri menteri daripada kementerian berkaitan seperti Kementerian Pertahanan; Kementerian Luar; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Pengangkutan.

Turut menyertai mereka ialah Kementerian Sumber Manusia; Kementerian Komunikasi dan Multimedia; Kementerian Kesihatan; Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi; Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Belia dan Sukan.

Pada mesyuarat berkenaan, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, mengumumkan kejayaan peningkatan 97 sabitan kes pemerdagangan orang pada tahun ini.

Ia membabitkan 76 sabitan kes pemerdagangan orang, sembilan sabitan mengikut kes penyeludupan migran, termasuk kes di Wang Kelian dan 12 sabitan kes mengikut Akta Imigresen, Kanun Keseksaan dan akta lain yang berkaitan.

Kejayaan berkenaan adalah hasil kerjasama erat dan komitmen berterusan ahli MAPO terutama membabitkan Timbalan Pendakwa Raya, pegawai penguat kuasa dan pegawai pelindung kepada mangsa pemerdagangan orang.

Peraturan-Peraturan ATIPSOM (Kebenaran untuk Bergerak Bebas dan untuk Bekerja) (Warga negara Asing) 2016 mula dikuatkuasakan pada 4 Mei lalu dan sehingga November lalu, 16 mangsa pemerdagangan orang diberi kebenaran bergerak bebas oleh MAPO.

113 dibaca
Berita Harian X